ISKANDAR PUTERI: Jordi Amat tidak mahu penampilan pertamanya di pentas final bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) tercalar, apatah lagi dia turun selaku kapten dalam final Piala FA malam ini.
Pertahanan Indonesia itu bertekad tidak membenarkan The City Boys mencipta jaringan seperti yang berlaku dalam aksi Liga Super pada 3 Julai lalu, di mana mereka menang 6-1.
Jordi bertekad untuk tidak membenarkan pasukan The City Boys itu mencipta jaringan seperti yang dilakukan pada aksi Liga Super pada awal bulan ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini.
“Walaupun JDT menang besar, tapi sedikit kecewa apabila kita membenarkan KL City jaringkan gol, kali ini kita akan pastikan pisang tidak berbuah dua kali.
“Kita khuatir jaringan itu mampu mengubah keputusan perlawanan dan pada aksi final ini juga apa sahaja boleh berlaku. Sebagai pemain barisan pertahanan, kami berazam gawang JDT tidak dibolosi sepanjang perlawanan,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Jordi memberitahu, pemain pertahanan juga perlu berwaspada setiap kali pasukan lawan mendapat sepakan bebas atau sepakan penjuru yang menjadi senjata buat KL City itu.
Katanya, JDT perlu bermain seperti biasa dengan mendominasi permainan sebaik wisel ditiupkan selain meningkatkan tempo permainan supaya memberi tekanan hebat kepada pasukan lawan sepanjang perlawanan.
“Untuk aksi final, JDT perlu mengawal permainan dari minit pertama sehingga wisel penamat. Kita tidak boleh beri ruang kepada lawan yang cukup berbahaya ketika dalam situasi ‘set-piece‘ dan serang balas yang boleh mengancam kubu pasukan.
“Rakan sepasukan perlu beri tumpuan penuh dan fokus sepanjang perlawanan selain mengekalkan corak permainan yang sering diterapkan iaitu berintensiti tinggi selain transisi dan umpanan bola yang lebih tepat.
“Pemain perlu memanfaatkan peluang (final di laman sendiri) dengan beraksi sehabis baik di hadapan lebih 80 peratus penyokong JDT yang membanjiri stadium,” katanya.
Katanya, Jordi perlawanan akhir ini akan menjadi pertemuan yang hebat dan mampu ditamatkan dalam tempoh 90 minit. – UTUSAN ONLINE