Hutang selesai, LTdL 2023 diteruskan

Hutang selesai, LTdL 2023 diteruskan

AKSI perlumbaan peringkat pertama siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2022 sejauh 157.3 kilometer dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ada sinar untuk penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 diteruskan selepas isu membabitkan hutang dan tunggakan kepada pasukan bertanding sebelum ini sudah diselesaikan.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTDL, Emir Abdul Jalal berkata, beliau yakin terhadap kredibiliti Human Voyage (M) Sdn Bhd (HVSB) berdasarkan kepada sejarah penganjuran LTdL beberapa tahun lalu yang tidak pernah berhadapan masalah tunggakan pembayaran.

Beliau berkata, fokus kini sudah beralih kepada persediaan untuk mengharungi perlumbaan berkenaan dengan memastikan pasukan bertaraf World Tour dan Pro Tour menyertai kejohanan itu kelak.

“Saya yakin HVSB boleh membuat pembayaran semua tunggakan itu kerana sebelum ini mereka sudah banyak kali menganjurkan LTdL dan tidak pernah berhadapan masalah dengan pembayaran kepada pasukan.

“Pada masa sama, saya juga lega semuanya sudah selesai dan kita boleh ‘pandang ke depan’ dengan memberi tumpuan pada penganjuran LTdL musim ini.

“Boleh saya katakan, sebenarnya tidak boleh tidur malam memikirkan masalah ini kerana pasukan World Tour tak mahu sertai perlumbaan LTdL kerana berdepan masalah tunggakan itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penganjuran LTdL kini menjadi persoalan apabila UCI mengeluarkan perlumbaan itu dari kalendar kejohanan tahun ini.

Ia susulan tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta.

Jumlah berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan hadiah kemenangan oleh pihak penganjur sebelum ini namun berkisar kepada bayaran lain seperti penampilan dan tiket penerbangan.

Namun, semalam Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan HVSB sudah membayar semua hutang yang tertunggak membabitkan pasukan bertanding sebelum ini.

Tindakan segera HVSB itu mencerahkan peluang untuk LTdL kembali memeriahkan kalendar perlumbaan basikal negara sekali gus melegakan peminat sukan terbabit untuk menyaksikan jagoan dunia berentap di Malaysia.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, HVSB sudah menjelaskan semua hutang membabitkan lima pasukan dan perkara itu akan dimaklumkan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam tempoh terdekat ini.

“Hutang untuk lima pasukan pada awalnya sudah bayar separuh dan kini sudah selesai semuanya tunggakan itu. Saya akan kumpulkan semua buktikan bayaran dalam jumlah RM1.5 juta dan hantar surat kepada UCI dalam tempoh terdekat,” kata Abu Samah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya