LONDON: Steven Gerrard sedia membuat keputusan mengejut apabila mahu membawa Jordan Henderson dan bintang yang gagal di Chelsea, Pierre-Emerick Aubameyang bersamanya menyertai Al-Ettifaq.
Bekas pengurus Aston Villa itu kembali ke bidang pengurusan selepas dilantik sebagai Ketua Jurulatih kelab Liga Pro Saudi itu semalam.
Gerrard, 43, tidak melatih mana-mana pasukan sejak dipecat oleh Villa pada Oktober 2022.
Bulan lalu, dia mendedahkan telah menolak tawaran Al-Ettifaq sebelum membuat pusingan U.
Selepas menandatangani perjanjian dua tahun bersama pasukan Liga Pro Saudi, dia kini berusaha memperkuat skuadnya dengan pemain pengalaman Liga Perdana Inggeris.

Menurut Daily Mail, legenda Liverpool itu berminat menandatangani Henderson dan Aubameyang.
Henderson ialah bekas rakan sepasukannya ketika beraksi bersama Liverpool dan skuad kebangsaan England.
Pemain tengah berusia 33 tahun itu adalah kapten Reds sekarang dan mempunyai baki dua tahun kontrak.
Bagaimanapun, bahagian tengah Liverpool menjalani rombakan pada musim panas ini dengan kemasukan Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai.
Situasi itu menyaksikan peluang Henderson untuk beraksi semakin terhad.
Bagi Aubameyang, 34, masa depannya di Chelsea tidak menentu selepas musim pertama yang sukar bersama kelab London tersebut. – AGENSI