PETALING JAYA: Selepas lebih empat bulan menunggu, Kelantan FC akhirnya merasai nikmat meraih mata dalam perlawanan Liga Super selepas seri 2-2 menentang Kuching City di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Kelantan FC mengalami 11 kekalahan liga berturut-turut sebelum pertemuan menentang Kuching, malah kali terakhir mereka meraih mata adalah ketika diikat 2-2 oleh Kuala Lumpur City (KL) di laman sendiri pada 17 Mac lalu.
Biarpun masih gagal mencari kemenangan pertama sejak menewaskan Penang FC 2-0 pada 5 Mac lalu, namun satu mata berharga yang diraih di bumi Sarawak nyata cukup melegakan pengendali baharu The Red Warriors (TRW), Alfredo Vera.
Keputusan seri belum cukup untuk mengeluarkan Kelantan FC dari kedudukan tercorot liga, namun memberi suntikan motivasi bagi menghadapi sembilan baki perlawanan liga.
Kelantan FC memulakan permainan dengan agresif dan membocori gawang tuan rumah seawal minit keempat menerusi rembatan jarak jauh Mohamad Hafizan Ghazali yang menewaskan penjaga gol, Norazlan Razali.
Biarpun mengatur beberapa serangan untuk mencari gol penyamaan, namun percubaan-percubaan Kuching City berjaya dipatahkan oleh pertahanan Kelantan dan kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Kuching City akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi penyerang import dari Liberia, Abu Kamara pada minit ke-58.
Hasrat Kelantan FC untuk pulang bersama mata pada mulanya tampak kelam selepas Kamara meledak gol kedua Kuching City menerusi sepakan penalti pada minit ke-65.
Begitupun, ketika permainan berbaki 11 minit untuk ditamatkan, Natanael Siringoringo muncul wira Kelantan FC dengan meledak gol penyamaan. – UTUSAN ONLINE