MUNICH: Bayern Munich bersedia menjual Sadio Mane pada harga 17 juta pound (RM102 juta) dalam usaha mengumpul dana untuk mendapatkan bintang Tottenham, Harry Kane.
Mane mengharungi musim pertama yang bergolak di Jerman sejak perpindahan bernilai 35 juta pound (RM210 juta) dari Liverpool tahun lalu.
Gergasi bola sepak Jerman tersebut berharap Tottenham akan melepaskan Kane pada harga 70 juta pound (RM421 juta) minggu ini kerana kelab London itu akan kehilangan penyerang mereka secara percuma jika menunggu sehingga musim depan.
Begitupun Tottenham tampak akan menolak tawaran kedua Bayern dengan meletakkan harga 120 juta pound (RM723 juta) untuk kapten England tersebut.
Menurut Sky Sports, Bayern berharap dapat mengumpul 17 juta pound hasil penjualan Mane, selain mahu melepaskan Marcel Sabitzer pada harga 12 juta pound (RM72 juta) dan Benjamin Pavard dengan nilai 34 juta pound (RM204 juta).

Selain tiga nama tersebut, pemain paling bernilai yang mahu dilepaskan pengurus mereka, Thomas Tuchel ialah bintang muda Belanda, Ryan Gravenberch yang dijangka mampu meraih sehingga 42 juta pound (RM253 juta).
Sementara itu, nama lain, Bouna Sarr, Alexander Nubel dan Yann Sommer pula dijangka meninggalkan kelab dengan bayaran kurang 8.5 juta pound (RM51 juta).
Jika Bayern berjaya menjual setiap pemain dengan harga yang diminta, juara Bundesliga itu dapat mengumpul kira-kira 113 juta pound (RM680 juta) dan hampir pasti mampu membayar permintaan pemilik Tottenham, Daniel Levy.
Dalam masa sama, Tottenham berharap dapat meyakinkan pemain berusia 29 tahun itu untuk kekal di utara London dan bersedia menawarkan gaji lumayan sehingga 400,000 pound (RM2.4 juta) seminggu. – AGENSI