LONDON: Harry Kane dan Putera William mengetuai kumpulan yang memberikan sokongan kepada bekas bintang England, Dele Alli selepas wawancara penuh emosi pemain tengah itu dengan Gary Neville.
Alli, 27, dengan berani mendedahkan dia pernah menjalani pemulihan selama enam minggu kerana ketagihan pil tidur selepas tamat tempoh pinjaman dengan Besiktas.
Bukan itu sahaja, dia juga mendedahkan pernah menjadi mangsa cabul oleh salah seorang rakan ibunya ketika berusia enam tahun.
Peminat di seluruh dunia berkumpul di sekeliling bekas pemain antarabangsa England itu selepas pendedahannya yang menyayat hati, termasuk beberapa rakan profesionalnya dan Putera William.
Alli berkongsi foto dirinya dengan Neville semasa temu bual di Instagram dengan keterangan gambar: “Saya baru-baru ini duduk bersama @gneville2 bercakap tentang kehidupan dan apa yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”
Perkongsian itu disukai oleh bekas rakan sepasukan Alli di Tottenham dan England, Kane dan beberapa bintang bola sepak lain.
“Bangga dengan @dele_official kerana bercakap dan berkongsi pengalamannya untuk mencuba dan membantu orang lain,” kata Kane di Twitter.
Putera William menunjukkan sokongannya dengan menyatakan bahawa Alli seorang yang berani dan penuh inspirasi.
“Berani dan penuh inspirasi, Alli. Membincangkan kesihatan mental bukanlah tanda kelemahan. Mari kita teruskan perbualan.
“Kami semua bersama anda dan kami mendoakan yang terbaik untuk anda,” kata Putera William.
Sementara itu, pertahanan Chelsea, Ben Chiwell menyertai rakan profesionalnya dalam mengulas pada siaran Instagram Dele, menulis: “Sayang awak, abang.”
Pemain baharu Tottenham, James Maddison mengulas: “Bangga dengan awak abang! Sayang awak sentiasa.”
Bekas bintang Tottenham, Kyle Walker-Peters berkata: “Sangat bangga dengan kamu bro, sayang kamu.
Penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin juga menghantar mesej sokongan, menulis: “Amat bangga dengan kamu.”
Everton mengeluarkan kenyataan mengenai pendedahan pemain tengah mereka berkata, kelab itu telah menyokong Dele dalam kedua-dua kepulangannya untuk kecergasan dan mengatasi cabaran peribadi yang ditonjolkan dalam wawancaranya dengan The Overlap.
I’m struggling to find the words to put with this post but please watch my most recent interview with Dele. It’s the most emotional, difficult yet inspirational conversation I’ve ever had in my life. Watch the interview on @wearetheoverlap here https://t.co/60d4IZwQmR pic.twitter.com/0cZowJGW77
— Gary Neville (@GNev2) July 13, 2023
“Semua orang di Everton menghormati dan memuji keberanian Alli untuk bercakap tentang kesukaran yang dia hadapi, serta mendapatkan bantuan yang diperlukan.
“Kebajikan fizikal dan mental semua pemain kami adalah amat penting. Kelab mengambil serius tanggungjawabnya dalam melindungi kerahsiaan pemain dan kakitangan.
“Alli tidak akan mengadakan sebarang temu bual lanjut berhubung pemulihannya, dan kami meminta privasinya dihormati semasa dia meneruskan pemulihan daripada kecederaan.
“Dia menerima penjagaan dan sokongan penuh yang diperlukan untuk kesejahteraan fizikal dan mentalnya,” kata Everton.
Di samping terbuka dengan pengalaman pahitnya, Alli turut mendedahkan dia pernah terfikir untuk menggantung but ketika berumur 24 tahun.
“Suatu pagi saya bangun dan terpaksa pergi latihan. Saya masih ingat ketika itu saya merenung cermin dan bertanya sama ada boleh bersara sekarang.
“Pada (umur) 24 dan melakukan perkara yang saya suka. Ia menyayat hati,” katanya. – AGENSI