KUALA NERUS: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak pernah kalah 13 perlawanan berturut-turut dan menjadi pilihan untuk memenangi setiap perlawanan, maka tekanan sepatutnya dirasai Harimau Selatan dan bukan Terengganu FC apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Liga Super malam ini.
Biarpun beraksi di laman sendiri di Stadium Mizan Zainal Abidin, namun pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner berkata, pasukannya tidak harus turun dengan tekanan.
Katanya, adalah penting bagi Sang Penyu tidak terikut-ikut helah skuad Harimau Selatan dengan kekal fokus dalam misi sekurang-kurangnya mengutip satu mata.
“Sebanyak 13 perlawanan dan 13 kemenangan selain hanya bolos satu gol setakat ini, semua orang tahu kualiti JDT. Jadi Terengganu tidak punyai apa-apa kerisauan bertemu kelab terbaik Malaysia ini.
“Saya enggan pemain-pemain beraksi dengan tekanan tinggi tetapi saya mahu mereka bebas beraksi seperti biasa dan menunjukkan kemampuan bersaing dengan JDT.
“Saya juga menjangkakan corak lebih tersusun berbanding aksi pembuka tirai dan kami ada jalan mencari keputusan positif sekaligus mencipta kejutan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sedikit merencatkan persiapan kem Terengganu apabila kehilangan tonggak pertahanan, Sardor Kulmatov akibat kecederaan lutut serius selain Syafik Ismail yang mengalami kecederaan ligamen (ACL).
Steinbruckner menjelaskan, TFC juga terpaksa merombak jentera tengah ekoran ketiadaan pemain pinjaman, Liridon Krasniqi untuk digandingkan dengan Habib Haroon.
“Kehilangan Kulmatov amat dirasai di bahagian benteng kerana dia pertahanan terbaik TFC. Namun saya optimis dengan pilihan yang ada termasuk Argzim Redzovic dan Safwan Mazlan.
“Apa yang penting kami dapat memberi tentangan kepada JDT yang serba lengkap di semua posisi dan diharap sokongan padu penyokong juga dapat membantu TFC,” katanya.
Selepas tamat separuh perjalanan liga, Terengganu kini di kedudukan ketujuh mengumpul 20 mata sementara JDT terus unggul tanpa dicabar di persada Liga Super dengan 39 mata.