PARIS: Iga Swiatek mengekalkan statusnya sebagai ratu tenis dunia selepas merangkul kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ketiga.
Pemain No. 1 dunia dari Poland itu memenuhi menepati ramalan dengan menumpaskan Karolina Muchova dari Republik Czech 6-2, 5-7, 6-4 awal pagi tadi.
Ini adalah gelaran ketiga Swiatek di Roland Garros dalam tempoh empat tahun selepas turut memenanginya pada 2020 dan 2022.
“Terima kasih semua! Pertama sekali tahniah kepada Karolina, sejak kami mula bermain saya tahu kami akan bertarung dalam perlawanan yang sukar.
“Saya benar-benar terpesona dengan kepelbagaian pukulan anda di gelanggang, saya tahu kita akan mempunyai lebih banyak perlawanan akhir selepas ini. Tahniah kepada pasukan anda juga.
Love story 🧡#RolandGarros @iga_swiatek pic.twitter.com/EezMyLM7x3
— Roland-Garros (@rolandgarros) June 10, 2023
“Saya tidak akan berada di sini tanpa pasukan saya, terima kasih semua. Saya tahu kami menjadi pilihan untuk memenangi kejohanan ini tetapi ia bukan mudah.
“Terima kasih kepada keluarga saya juga, begitu ramai orang telah datang dari Poland saya benar-benar merasakan kasih sayang. Saya tahu saya telah mengatakan ini setiap tahun, saya sangat suka berada di sini – ia tempat kegemaran saya,” kata Swiatek.
Ini adalah trofi Grand Slam keempat buat pemain berusia 22 tahun itu selepas turut memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2022.
Bagi Muchova, berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Grand Slam buat kali pertama sudah satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Untuk menggelar diri saya naib juara Grand Slam satu pencapaian yang amat menakjubkan,” kata pemain No. 43 dunia itu. – AGENSI