PETALING JAYA: Selangor FC mungkin tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli pemain baharu menjelang jendela perpindahan pemain yang akan dibuka pada 5 Julai hingga ke 1 Ogos nanti.
Pandangan itu disuarakan legenda Red Giants, Khalid Ali berdasarkan prestasi keseluruhan Selangor pada pusingan pertama Liga Super musim ini.
Jelasnya, selepas beberapa musim bergelut untuk berada di kedudukan tiga terbaik liga utama, ia tidak berlaku kali ini.
Jelas Khalid, pasukan kendalian Tan Cheng Hoe dilihat lebih konsisten walaupun berdepan kekalahan mengejut kepada PDRM FC 1-0 pada awal Jun lalu.

“Apa yang kita nampak pada tahun ini Selangor ada banyak peningkatan terutama daripada segi permainan walaupun kalah kepada PDRM tempoh hari.
“Begitupun untuk mencabar JDT (Johor Darul Ta’zim) itu ada kesukaran tetapi masih boleh memberi saingan.
“Apa yang saya lihat pemain-pemain import untuk semua pasukan secara keseluruhan tidak memberangsangkan.
“Untuk Selangor baik import atau tempatan ada nampak perubahan cuma perlu dibentuk lagi bagi memastikan keserasian lebih mantap,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Selepas mengharungi 14 perlawanan, Selangor berjaya mengutip 31 mata dengan 10 menang, satu seri dan tiga kekalahan.
Khalid turut memberi peringatan kepada pemain-pemain Selangor bahawa mereka perlu berbangga dan bermain mati-matian setiap kali menyarung jersi Red Giants.
“Setiap pemain Selangor apabila menyarung jersi, mereka perlu fikirkan bahawa diri mereka adalah yang terbaik kerana lencana yang ada itu sudah cukup menggerunkan lawan dan itu yang dirasai ketika zaman saya masih bermain,” ujarnya.