Piala Asia cabaran sebenar Harimau Malaya

Piala Asia cabaran sebenar Harimau Malaya

MENUTUP tahun 2023 di tangga ke-120 dunia bukan misi mustahil buat Harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gembira, puas dan seronok. Itu perasaan pemain serta penyokong Harimau Malaya melihat Malaysia mem­belasah Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan kelmarin.

Malaysia kembali mencatat kemenangan dua angka selepas 47 tahun, dan yang menarik­nya, mangsa terakhir mereka juga Papua New Guinea yang dibelasah 10-1 pada kelayakan Sukan Olimpik 1976 di Jakarta, Indonesia.

Bekas pemain kebangsaan, Azraai Khor Abdullah berkata, Malaysia menunjukkan per­kembangan amat positif di bawah kendalian Kim Pan Gon, namun ia bukan gambaran sebenar apa yang bakal dihadapi pada Piala Asia di Qatar, Januari depan.

“Lepas Kim Pan Gon ambil alih memang kita tengok ada perubahan dan peningkatan daripada banyak aspek terma­suk ranking.

“Memang benar (belum mampu uji kemampuan sebenar) tetapi dari sudut positif semua pemain menjalankan tugas dan taktikal dimahukan Pan Gon dengan baik.

“Lepas ini memang kita perlu cari pasukan ranking lebih baik seperti lawan kita di Piala Asia nanti untuk mengetahui kekuatan sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

KIM Pan Gon puas dengan persembahan Malaysia ketika menentang Papua New Guinea. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

Skuad kebangsaan diletak dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

Justeru, kemenangan ke atas dua pasukan iaitu Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon bukanlah satu gambaran sebenar skuad negara untuk mengharungi aksi Piala Asia.

Sementara itu, legenda bola sepak negara, Khalid Ali sependapat dengan Azraai bahawa ‘taring’ Harimau Malaya belum diuji sebenar-benarnya.

“Dua pasukan ini (Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon) bukanlah boleh dikatakan baik tetapi mungkin ada strategi Pan Gon memanaskan badan atau menguji pemain untuk dibawa ke Piala Asia.

“Masih ada kurang enam bulan untuk membentuk pasukan mantap bagi mengharungi Piala Asia. Secara keseluruhan saya seronok menonton pasukan ini setiap kali mereka bermain,” katanya.

ARIF Aiman Hanapi dikawal ketat pertahanan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak yang menyaksikan Malaysia berpesta gol 10-0. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

Kemenangan terbesar pernah dicatat Malaysia adalah membenam Filipina 11-0 pada 7 September 1974 pada Sukan Asia di Tehran, Iran.
Skuad negara ketika itu turut memenangi gangsa dalam acara bola sepak lelaki itu.

Ia juga rekod kemenangan terbesar pasukan negara di pentas antarabangsa yang masih belum dipecahkan hingga kini.

Bagaimanapun, di sebalik rekod cemerlang itu, Malaysia pernah dimalukan dengan jumlah bolos dua angka pada 2015 apabila dibelasah 0-10 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Kelayakan Piala Dunia 2018 di Dubai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN