IPOH: Yakin dengan kemampuan diri, tunjukkan semangat juang tinggi dan cuba buru kemenangan.
Itu pesanana Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi apabila Bos Gaurus menerima kunjungan lawan yang berada pada prestasi terbaik ketika ini, PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam esok.
Perak kalah dalam empat perlawanan terakhir mereka, sedangkan PDRM FC masih segar dengan kejayaan mencatat tiga kemenangan berturut-turut.
Skuad The Cops juga melakar kejutan dalam dua perlawanan terakhir dengan menumpaskan Sabah FC dan Selangor FC 1-0.
“Tiada yang mustahil dalam bola sepak. Pemain perlu ada keyakinan diri jika ingin berjaya.
“Mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan,” kata Abdul Azim.
Beliau menyeru pemain-pemain Perak FC agar mempamerkan persembahan terbaik mereka dalam usaha mencari kemenangan di depan penyokong sendiri.
“PDRM bukan calang-calang pasukan, mereka sudah semakin meningkat.
“Pemain Perak perlu berada pada tahap terbaik untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya.
Sementara itu kata Azim, Bos Gaurusakan mengalami perubahan selepas perlawanan ini memandangkan jendela perpindahan kedua akan dibuka mulai 5 Julai ini.
Katanya mereka akan membawa masuk beberapa muka baharu dalam usaha memperbaiki kedudukan Liga Super. – UTUSAN ONLINE