KOTA BHARU: Pertembungan ‘adik abang’ antara Kelantan United menentang Kelantan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini sepatutnya mengujakan penyokong The Red Warriors (TRW) seperti kebiasaan.
Begitupun, kemelut yang melanda Kelantan FC ketika ini dari isu gaji, pendedahan pemain mengenai pengurusan pasukan serta prestasi buruk TRW membuatkan penyokong ‘muak’ dan semakin hilang ‘selera’ untuk ke stadium.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net), Mohd. Nurul Mohd. Yusoh berkata, pemilik kelab, Norizam Tukiman perlu segera menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan untuk meredakan keadaan.
Malah, kalah kepada Kelantan United juga hanya akan memburukkan keadaan TRW yang sudah mengharungi sembilan kekalahan berturut-turut (semua pertandingan), selain mengharungi 11 perlawanan tanpa kemenangan.
Tewas di Kota Bharu hari ini bermakna Kelantan FC akan mengambil alih kedudukan tercorot liga daripada Kelantan United.

“Sejujurnya saya lihat peminat sudah bosan dengan pelbagai isu yang sedang menghantui pasukan ketika ini.
“Saya bimbang jika masalah ini tidak diselesaikan dengan segera ia boleh menghakis sokongan penyokong kepada pasukan.
“Bila penyokong hilang ‘selera’ untuk ke stadium, sudah pasti kantung kewangan pasukan akan menguncup,” kata Mohd. Nurul kepada Utusan Malaysia.
Katanya, walaupun ramai yang beranggapan sumbangan dan peranan penyokong ‘kecil’ namun ia mampu memberikan kesan kepada pasukan.
Katanya, tanpa sokongan padu sesebuah pasukan yang mempunyai sumber kewangan setinggi Gunung Everest pun akan jatuh merudum.
“Setiap wang dan keringat yang dikeluarkan oleh peminat adalah bukti sayangnya mereka pada pasukan. Alangkah ruginya, jika ‘hati dan jiwa’ penyokong tidak dibeli dengan menghadiahkan kemenangan kepada kami.
“Kami tidak minta banyak, kurangkanlah kontroversi dan tingkatkan prestasi pasukan supaya kembali disegani dengan baik selepas ini,” ujarnya.