MELBOURNE: Jaguh tenis Amerika Syarikat (AS), Venus Williams mencipta sejarah tersendiri apabila menerima tiket wildcard ke Terbuka Australia 2026 sekali gus menjadi pemain wanita tertua beraksi di kejohanan Grand Slam pembuka tirai musim itu pada usia 45 tahun.
Bekas juara tujuh gelaran utama perseorangan itu bakal kembali beraksi di Melbourne Park buat kali pertama sejak 2021, menandakan kemunculan semula dalam karier panjangnya di pentas profesional.
“Saya teruja untuk kembali ke Australia dan tidak sabar bersaing sepanjang musim panas tenis di sana.
“Saya mempunyai begitu banyak kenangan indah di sana dan berterima kasih atas peluang untuk kembali ke tempat yang amat bermakna dalam perjalanan karier saya,” kata Williams.
Venus sebelum ini pernah mara ke final Terbuka Australia pada 2003 dan 2017 selain turut mengukir kejayaan besar sebagai juara Wimbledon sebanyak lima kali dan memenangi Terbuka AS dua kali.
Penyertaannya kali ini menyaksikan beliau memadam rekod pemain Jepun, Kimiko Date, yang berusia 44 tahun ketika tersingkir pada pusingan pertama edisi 2015.
Selain pencapaian perseorangan, Venus juga merupakan juara beregu Terbuka Australia sebanyak empat kali sepanjang penglibatannya di kejohanan tersebut.
Beliau dijadual memulakan persiapan menghadapi Terbuka Australia yang berlangsung dari 18 Januari hingga 1 Februari dengan menyertai Kejohanan Klasik Auckland, selepas kembali ke jelajah WTA pada Terbuka AS tahun lalu susulan berehat selama 16 bulan. – AGENSI/UTUSAN










