Mbappe terus ‘menyerang’ PSG

Mbappe terus ‘menyerang’ PSG

KYLIAN Mbappe (kiri) tidak gembira dengan cara PSG menangani isu Lionel Messi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Kylian Mbappe me­lancarkan satu lagi serangan terhadap kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) dengan menegaskan, pemergian Lionel Messi bukan ‘berita baik’ dan penyerang Argentina itu tidak mendapat penghormatan sepatutnya di Perancis.

Katanya, ‘kekurangan’ yang ada di kelab, ditambah pemergian Messi menguatkan keputusannya untuk tidak menyambung kontrak bersama PSG yang berakhir tahun depan.

Awal minggu ini, Mbappe, 24, memberi tamparan kepada PSG apabila mengumumkan, dia mahu menghabiskan kontrak­nya sehingga musim depan dan tidak akan memperbaharuinya sebaik sahaja ia berakhir.

Sebaik sahaja mendengar pengumuman itu, PSG yang terdesak untuk tidak kehilangan Mbappe secara percuma mahu segera mencari ‘pembeli’.

“Bagi pemain seperti saya, matlamat utama adalah untuk memenangi segala-galanya. Kami tahu di PSG ada kekura­ngan yang lambat laun perlu kami hadapi.

“Saya tidak pernah kata saya mahu dijual kepada Real Madrid atau mahu pergi, saya hanya tidak mahu mengaktifkan pilihan (menyambung kontrak) selepas ia tamat.

“Dengan PSG, kami tidak pernah berbincang tentang pembaharuan kontrak. Pemergian Messi? Berita buruk, dia kini perlu diganti,” katanya kepada akhbar Itali, Gazzetta dello Sport.

LIONEL Messi akan menyertai kelab Amerika Syarikat, Inter Miami musim depan.

Mbappe tampak tidak ber­puas hati dengan cara kelab itu mengendalikan beberapa isu, terutama Messi, 35, yang memilih untuk menyertai Inter ­Miami di Amerika Syarikat (AS).

“Saya tidak faham mengapa ramai orang yang berasa lega apabila dia (Messi) pergi. Dia tidak mendapat penghormatan yang sepatutnya di Perancis,” katanya.

Biarpun mengesahkan dia gembira untuk kekal setahun lagi bersama PSG, namun situasi ketika ini amat jelas, sama ada penyerang Perancis itu perlu menyambung kontraknya atau dijual dalam masa terdekat.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN