PETALING JAYA: Bahang pertembungan antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC pada separuh akhir Piala FA Isnin ini kian memuncak biarpun banyak pihak meramalkan Harimau Selatan akan melangkah ke final.
JDT yang dikendalikan Estaban Solari dilihat mempunyai kelebihan besar kerana memiliki barisan bintang di setiap posisi, bermain di laman sendiri di Stadium Sultan Ismail (SSI) dan juga rekod kemenangan 4-0 ke atas King of Malaya dalam aksi terakhir Liga Super, Mac lalu.
Kehangatan pertembungan dua seteru yang berada di kedudukan dua teratas Liga Super itu bukan sahaja di atas padang, malah penyokong kedua-dua pasukan yang dilihat sering ‘bertelagah’ di media sosial.
Atas kertas, Harimau Selatan dijangka mampu mengatasi Gergasi Merah, namun cabaran anak-anak buah Tan Cheng Hoe tidak boleh dipandang rendah kerana mereka berpotensi untuk mencalarkan rekod ‘skuad mahal’ selatan tanah air itu.
Bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Razman Roslan berkata, semua peminat bola sepak tempatan mahu melihat ada pasukan dalam negara yang mampu memberi cabaran sebenar kepada JDT dan beliau mengharapkan pertembungan menarik di SSI nanti.

“Betul, ramai yang jangkakan JDT boleh mara ke final. Mereka ada kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri dan kebal di SSI, saya percaya ramai peminat bola sepak mahu melihat pasukan mana boleh gagalkan JDT untuk bolot semua piala musim ini.
“Kalau boleh kita mahu melihat ada pasukan mampu calarkan ego JDT, namun kita juga perlu terima hakikat mereka ada segala kelebihan biarpun saya sebagai bekas pemain Selangor, mahu melihat anak buah Cheng Hoe mara ke final.
“Dalam pertembungan Isnin ini, saya berharap Selangor dapat settle down cepat kerana dalam 10 hingga 15 minit pertama JDT biasanya akan ‘bunuh’ permainan lawan dengan gol awal. Kalau dapat kawal, elangor masih ada peluang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Razman percaya, Selangor tidak akan bermain secara bertahan kerana Cheng Hoe juga terkenal dengan taktikal menarik yang mampu mengubah ‘suhu’ permainan.
“Mereka kena lebih berdisiplin dan barisan serangan Selangor tidak boleh membazirkan peluang. Cheng Hoe ada perancangan taktikal dan saya percaya mereka akan bermain secara terbuka,” katanya yang meramal permainan tidak berlarutan ke masa tambahan.