PETALING JAYA: Misi skuad bawah 17 (B-17) tahun negara untuk mencipta sejarah beraksi di pentas Piala Dunia akan bermula di bumi Thailand, hari ini.
Skuad kendalian Osmera Omaro itu bakal membuka tirai kejohanan di pusingan akhir Piala Asia B-17 dalam Kumpulan A menentang Yemen di Stadium Thammasat.
Perlawanan pembukaan itu penting untuk pemain muda negara memulakan langkah kanan mengutip mata berharga bagi memastikan laluan layak ke separuh akhir apabila empat pasukan terbaik dari kejohanan itu akan mendapat tiket ke Piala Dunia B-17 tahun ini.
Pengurus pasukan B-17 negara, Christopher Raj meletakkan kepercayaan kepada anak-anak buah Osmera untuk mencipta kejutan seandainya berjaya memberikan aksi terbaik di pentas Piala Asia B-17.
Beliau bagaimanapun sedar cabaran yang bakal dihadapi barisan pemain negara tidak mudah kerana jika melepasi peringkat kumpulan, beberapa pasukan besar seperti Qatar, Iran dan Korea Selatan menanti mereka di peringkat seterusnya.
“Semasa sesi perbincangan ringkas dengan pemain, saya katakan tidak pernah ada dalam bola sepak Malaysia mana-mana pemain dapat bermain di Piala Dunia, tak kira senior atau sebagainya.
“Tahun ini tahun akhir yang mana Piala Dunia akan dimainkan secara dua tahun sekali. Bermula 2025, setiap tahun akan ada Piala Dunia untuk B-17 dan B19.
“Jadi saya katakan kepada mereka kalau anda nak buat sejarah, kali inilah nak buat sejarah dan sejarah ini akan diingati bukan sahaja oleh negara tetapi untuk sejarah kepada diri anda sendiri.
“Saya pasti kalau mereka bermain dengan baik, mengambil peluang, bersikap positif dan berkeyakinan tinggi, saya fikir kami boleh layak ke separuh akhir, saya yakin,” katanya.
Selepas Yemen, skuad negara akan mengharungi aksi kedua berdepan tuan rumah, Thailand di Stadium Pathum Thani, Ahad ini sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Laos (21 Jun) di Stadium Thammasat.