KOTA BHARU: Liga Super sudah memasuki pusingan kedua, namun keadaan di Kelantan FC bukannya bertambah baik, sebaliknya kian membimbangkan, terutama selepas kekalahan 0-5 kepada Sri Pahang kelmarin.
Tiga hari lalu, The Red Warriors (TRW) memperkenalkan jurulatih baharu yang sarat dengan pengalaman, Alfredo Vera dari Argentina, namun Frank Bernhardt nyata masih tampil mengendalikan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV itu.
Biarpun kontraknya akan tamat hujung bulan ini, namun Bernhardt kelihatan bingung dengan masa depannya sama ada akan dikekalkan oleh kelab atau dilepaskan.
Ketika pemain dan penyokong masih terluka dengan kekalahan liga kesembilan berturut-turut yang dialami, nasib mereka ibarat ‘jatuh ditimpa tangga’ selepas dikenakan sekatan perpindahan pemain gara-gara kegagalan kelab melunaskan tunggakan gaji dalam tempoh ditetapkan.
“Sekatan itu akan bermula musim ini juga dan ia akan dilaksanakan oleh MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) selaku pengendali liga (Liga Malaysia).

“Sekatan itu disebabkan kes pemain (tunggakan gaji),” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman.
Perkembangan terbaharu itu pasti memburukkan lagi keadaan TRW yang memerlukan rombakan menyeluruh untuk menghentikan siri kekalahan yang dialami dalam saingan Liga Super.
“Seseorang jurulatih hanya boleh mempengaruhi sekitar 10 hingga 15 peratus keputusan sesebuah perlawanan. Selebihnya bergantung kepada barisan pemain di atas padang.
“Kerana itu kebanyakan jurulatih akan memilih kelab yang sudah mempunyai barisan pemain berkredibiliti. Mereka pergi untuk cipta kejayaan bukan membangunkan pemain. Di sini (Kelantan) kita lebih banyak membantu pembangunan pemain dan ia bukan mudah.
“Sekiranya Kelantan FC tidak dapat membeli pemain baharu pada jendela perpindahan kedua ini, kita terpaksa menghabiskan saingan Liga Super dengan barisan pemain bawah 23 tahun,” kata Bernhardt.