Kejuaraan Motocross Malaysia tambah tiga kategori baharu - Utusan Malaysia

Kejuaraan Motocross Malaysia tambah tiga kategori baharu

HANNAH Yeoh bersama pelumba cilik motocross dalam perasmian Kejuaraan Motocross Malaysia 2023 di Putrajaya hari ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kejuaraan Motocross Malaysia (MMC) kembali dianjurkan tahun ini dengan saingan lebih mencabar membabitkan lima pusingan di  Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya, Pahang dan Johor.

Perlumbaan anjuran Kelab Motocross TQMX itu akan bermula bulan depan dengan Pulau Pinang akan menjadi lokasi pembuka tirai dan akan berakhir di Johor pada Disember depan.

Naib Presiden MMC, Azlan Shah berkata, MMC 2023 akan dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Permotoran Malaysia dengan pertambahan tiga kategori baharu.

HANNAH Yeoh (berdiri, tengah) bersama barisan penaja selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pada Majis Perasmian Kejohanan Motocross Malaysia 2023 di Putrajaya di sini, hari ini. Turut sama, Mokhzani Mahathir (berdiri, dua kiri) dan Hazlan Shah Mohd. Noor (berdiri, dua kanan). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

“Bagi edisi 2023, tiga kategori baharu akan dianjurkan iaitu 50cc rookie dan 65cc untuk rookie berumur 12 tahun kebawah, satu lagi kategori baharu ialah MX125cc iaitu persediaan kepada pelumba untuk memasuki semi pro.

“Kategori utama yang akan dipertandingkan adalah MX50, MX65 dan MX85. Kami berharap, penganjuran pada tahun ini akan menarik lebih ramai pelumba muda bagi mencungkil bakat-bakat baru.

“Pada tahun lalu, kita mendapat penyertaan 479 orang pelumba dan daripada jumlah itu, 32 orang adalah pelumba dari negara jiran iaitu Singapura,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran MMC 2023.

Terdahulu, majlis pelancaran yang turut dihadiri Presiden Persatuan Permotoran Malaysia, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, sehingga kini, penyertaan untuk MMC 2023 masih dibuka kepada pelumba-pelumba dari dalam dan luar negara dan mereka yang berminat boleh menghubungi pihak penganjur.

Sementara itu, Hannah ketika berucap melancarkan MMC 2023 mengumumkan peruntukan menteri sebanyak RM10,000 untuk menyokong penganjuran kejohanan tersebut.

“Hari ini saya umumkan peruntukan menteri sebanyak RM10,000 bagi menyokong penganjuran MMC 2023. Saya percaya, kejohanan ini penting untuk anak-anak muda mempamerkan bakat masing-masing.

“Untuk penganjuran tahun hadapan, saya berharap MMC membuat permohonan kepada kementerian menerusi geran padanan sukan untuk menganjurkan kejohanan sebegini.

“Saya Percaya, penganjuran kejohanan sebegini bukannya murah. Jadi, penganjur boleh buat permohonan kepada kita, penganjur perlu bayar dahulu dan buat tuntutan dengan melampirkan data-data seperti penyertaan dan jumlah perbelanjaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya