LONDON: Isteri Ilkay Gundogan, Sara Arfaoui gembira suaminya bakal meninggalkan Manchester City pada musim panas ini kerana tidak tahan dengan makanan tempatan di Manchester.
Bintang tengah Jerman itu bakal meninggalkan skuad bimbingan Pep Guardiola selepas membantu mereka menjulang treble bersejarah gara-gara tidak mencapai persetujuan mengenai penyambungan kontraknya yang tamat pada 30 Jun ini.
Kapten City tersebut akan menyertai gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona secara percuma selepas bersetuju menandatangani kontrak tiga tahun.
Masakan Sepanyol mungkin lebih sesuai dengan cita rasa ibu kepada seorang anak itu selepas dia mengecam kedai makan di Manchester dan memberi penilaian kejam di akaun Instagramnya yang mempunyai lebih setengah juta pengikut.
Arfaoui mendakwa makanan ‘teruk’ dihidangkan di semua tempat di Manchester dan dia tidak dapat mencari masakan Itali sebenar di mana-mana sahaja di bandar itu.
Ketika diminta menamakan restoran kegemarannya di Manchester, Arfaoui menjawab: “Maaf, jujur saya sedih tetapi tiada apa-apa. Saya berusaha keras untuk mencari restoran yang baik tetapi makanan yang teruk di mana-mana.
“Tidak dapat mencari masakan Itali sebenar atau sushi yang enak atau makanan segar, di mana-mana hanya ada makanan sejuk beku.”
Dia menambah, Manchester memberi tumpuan kepada menjana wang menerusi minuman dan bukannya menghidangkan makanan berkualiti.
Membuatkan peminat makanan tempatan lebih marah, dia membuat kesimpulan tentang tempat untuk mencari makanan yang baik adalah di London sambil mendakwa tiada apa-apa yang menarik untuk dinikmati di Manchester.
Pasangan itu menerima kelahiran anak pertama mereka pada Mac lalu sebelum Gundogan mencapai impian menjadi kapten penuh bersejarah menjulang tiga trofi utama di Eropah. – AGENSI