PARIS: Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 membenarkan orang kenamaan (VIP) menikmati champagne atau minuman beralkohol ketika menonton pertandingan sepanjang temasya itu.
Bagaimanapun peminat hanya dibenarkan mengambil minuman biasa kerana penganjur memutuskan untuk melarang penjualan alkohol di stadium.
Di bawah Undang-undang Evin yang telah dikuatkuasakan sejak 1991, alkohol dilarang daripada dijual kepada orang ramai di dalam stadium di Perancis.
Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 tidak mahu meminta pengecualian, kata jurucakap Paris 2024.
Undang-undang berkenaan hanya membenarkan pengecualian untuk 10 acara bagi setiap penganjur.
“Paris 2024 akan menganjurkan lebih daripada 700 acara sepanjang 15 hari pertandingan,” kata jurucakap itu.
Pengecualian sedemikian akan memerlukan perubahan dalam undang-undang untuk sukan berkenaan.
“Ia adalah penerapan ketat undang-undang Perancis yang membenarkan perkhidmatan katering yang termasuk penyediaan alkohol beroperasi di kawasan perhotelan kerana ia dikawal oleh undang-undang berasingan mengenai katering,” tambah jurucakap itu.
Alkohol juga diharamkan dijual di stadium pada Olimpik edisi lalu yang ditangguhkan susulan Covid-19 di Tokyo dan dilangsungkan pada tahun seterusnya tanpa kehadiran penonton.
Sebelum ini minuman bir dan wain boleh didapati di Sukan Olimpik 2012 di London dan temasya Rio de Janeiro pada 2016. – AGENSI