PARIS: Novak Djokovic memahat rekod tenis lelaki dengan merangkul kejuaraan Grand Slam ke-23 selepas muncul juara Terbuka Perancis awal pagi tadi.
Pemain No. 3 dunia dari Serbia itu mengukuhkan statusnya sebagai pemain terhebat sepanjang zaman (GOAT) dengan menundukkan Casper Ruud dari Norway 7-6 (7/1), 6-3, 7-5.
Gelaran Terbuka Perancis ketiga yang dimenangi membolehkan Djokovic mengatasi jaguh Sepanyol, Rafael Nadal yang sebelum ini berkongsi rekod 22 kejuaraan Grand Slam.
Djokovic, 36, kini berkongsi rekod kejuaraan utama Era Terbuka bersama bintang Amerika Syarikat, Serena Williams, manakala dia adalah lelaki pertama memenangi kesemua empat Grand Slam sekurang-kurangnya tiga kali.
Special moment with the ball kids 🧡 #RolandGarros @DjokerNole pic.twitter.com/RzqEsHNdKs
— Roland-Garros (@rolandgarros) June 11, 2023
“Saya sangat gembira berada di sini untuk berkongsi detik istimewa ini dalam karier saya dengan anda.
“Kebetulan saya memenangi Grand Slam ke-23 di sini di Paris, kejohanan ini sentiasa menjadi yang paling sukar untuk saya menangi jadi saya sangat beremosi sekarang, ia amat bermakna bagi saya.
“Saya telah mengalami banyak perkara di dalam dan luar gelanggang. Saya amat berbesar hati berada di sini di gelanggang istimewa ini.
“Terima kasih atas tenaga anda hari ini dan sepanjang kejohanan,” kata Djokovic kepada penontob dalam wawancara di gelanggang selepas perlawanannya. – AGENSI