KUALA TERENGGANU: Sesuai dengan nama julukannya ‘Badak’, Shahrul Saad bersedia untuk menggalas tugas mengetuai benteng pertahanan Malaysia apabila menentang Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa esok.
Kata bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, ketiadaan pemain berdarah campuran, Dion Cools dalam skuad negara kali ini memberi ruang kepadanya memainkan peranan lebih penting buat Harimau Malaya.
Tegasnya, sebagai antara pemain berpengalaman, dia mahu menyahut cabaran mengisi kesebelasan utama di posisi itu di samping Feroz Baharuddin, Junior Eldstal dan Dominic Tan.
“Ini adalah antara barisan terbaik menyertai kem latihan Harimau Malaya dengan masing-masing berada dalam prestasi terbaik bersama kelab di Liga Super.
“Sudah tentu merasai kehilangan Dion namun pemain sedia ada mempunyai kualiti setara dan kami akan memberi persembahan lebih 100 peratus jika diberi peluang beraksi.
“Keserasian dan moral dalam pasukan juga semakin jitu meskipun baru berkumpul dua hari, jadi ini adalah petanda positif buat Harimau Malaya,” katanya semalam.

Sementara itu, pemain berusia 30 tahun itu juga mengintai misi lebih besar iaitu Piala AFC di Qatar, awal tahun depan, dengan skuad Harimau Malaya kini berada di landasan tepat.
Jelasnya, pertemuan dengan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea (20 Jun) merupakan ujian terbaik menguji pasukan kebangsaan yang diundi bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
“Beraksi di pentas tertinggi seperti Piala Asia adalah impian setiap pemain dan kita pun sudah menunggu selama 42 tahun untuk layak secara merit ke pertandingan berkenaan.
“Bertemu tiga gergasi Asia itu bukan mudah namun dengan persiapan rapi di bawah kendalian Kim Pan Gon, tiada apa yang mustahil dan saya berharap dapat terpilih ke Qatar nanti,” jelasnya.