Atlet angkat berat Nyalas perlu bangunan sendiri

Atlet angkat berat Nyalas perlu bangunan sendiri

FAIROL NIZAM Roslan (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang atlet angkat berat yang menyumbang emas di Kemas Selandar, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diminta untuk mempertimbangkan kelulusan peruntukan bagi membina sebuah bangunan untuk atlet Kelab Angkat Berat Nyalas menjalani latihan.

Penasihat Kelab Angkat Berat Nyalas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairol Nizam Roslan berkata, permohonan peruntukan tersebut telah dibuat tahun lalu.

Menurutnya, ia dibuat memandangkan kelab itu berjaya melahirkan ramai atlet remaja lelaki dan wanita mewakili Melaka pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Selain itu, katanya, dua atlet berjaya meraih dua emas pada Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023 di Rompin, Pahang baru-baru ini.

“Cuma saya difahamkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim bahawa senarai projek ini sudah ada di Rolling Plan Ketiga (RP3), tetapi kelulusannya belum ada. Kalau Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendengar keluhan kita ini, saya harap permohonan (peruntukan) ini boleh disegerakan.

“Kita sudah ada 30 atlet pelapis di peringkat sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang berlatih di Akademi Angkat Berat Nyalas di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Asahan, namun kita perlukan sebuah bangunan yang selesa untuk atlet berlatih,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selandar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan atlet angkat berat yang meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023 baru-baru ini.

Tambah Fairol Nizam, sejak mengambil alih jawatan penasihat kelab itu tahun lalu, beliau telah berjaya menempatkan 13 atlet ke Sekolah Sukan Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota.

Jelasnya, atlet wanita, Nurul Syasya Khairina Syamsur yang meraih emas ketika Sukma 2022 bagi kategori 49 kilogram (kg) adalah atlet cemerlang bakal mewakili negara tidak lama lagi.

“Justeru berdasarkan pencapaian kelab ini ada kewajarannya KBS menimbangkan untuk meluluskan sejumlah peruntukan bagi merealisasikan hasrat membina bangunan yang sempurna untuk atlet menjalani latihan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya