Takraw tidak hilangkan kewanitaan Alice, Suhaida

Takraw tidak hilangkan kewanitaan Alice, Suhaida

ALICE Harun (kiri) bersama Siti Nor Suhaida ­Jafri. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI bola sepak, sepak takraw sukan yang dikuasai golongan lelaki.

Jika ada wanita menceburi sukan tersebut, mungkin ramai yang memiliki persepsi pemain itu mestilah berperwatakan lasak dan agak ‘tomboy’.

Begitupun bagi dua penyam­pai Astro Arena yang bakal bertindak selaku pengulas Liga Sepak Takraw (STL) 2023, Alice Harun dan Siti Nor Suhaida ­Jafri yang memilih sepak takraw sebagai cabang karier, keadaan itu tidak berlaku kepada mereka.

ALICE dan Siti Nor Suhaida bersama rakan pengulas, Azlzan Mubin.

Bagi Alice yang kini telah bersara berkata, dia selesa dengan identiti berambut panjang dan feminin ketika masih mewakili Malaysia lagi.

“Kita memang dilahirkan sebagai wanita kenapa kita hendak tukar perwatakan, potong rambut pendek dan sebagainya.

“Semasa saya menyatakan hasrat bermain takraw, abang saya Ronny Harun (bekas pemain bola sepak kebangsaan) meletakkan syarat, macam mana saya masuk dengan rambut panjang, begitulah rambut saya ketika keluar dan saya kotakan janji itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Alice, 30, ramai juga beranggapan sepak takraw sukan yang lasak tetapi sebenar­nya tidak kerana ia penuh kelembutan dan sangat berseni.

“Silap bila orang kata takraw ini kasar, tidak sebenarnya, takraw penuh kesenian, sukan ini perlukan kelembutan, jika badan anda tak lembut anda tak boleh ‘setting’ bola,” tegasnya.

Sementara itu, bagi Siti Nor Suhaida, 27, yang masih memegang status sebagai pemain kebangsaan berkata, dirinya di dalam dan di luar gelanggang jauh berbeza.

“Saya memang suka sukan yang lasak dan ketika berada dalam ­gelanggang, saya seorang yang agresif kerana perlu menentang lawan yang juga kasar.

“Walaupun kita tutup aurat tak semestinya kita perlu lemah lembut dalam perlawanan, kita kena tunjukkan kita lagi agresif daripada lawan walaupun bertudung,” ujarnya.

Selain takraw, Nor Suhaida turut aktif dalam motocross, dan dunia serba lasak itu tidak mengubah hakikat dirinya sebagai wanita bergelar isteri dan ibu.

Isteri kepada Aizat Norazmi yang juga pemain takraw negara itu memberitahu, dia berasa tercabar jika melihat ada wanita lebih kasar daripada dirinya.

Nor Suhaida dan Alice bakal bergandingan bersama seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Azlan Abdul Mubin sebagai pengulas STL yang membuka tirai 26 Mei hingga 5 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×