BUDAPEST: Jose Mourinho mengharamkan staf Roma memasuki padang latihan ketika pasukannya melakukan persiapan untuk berdepan Sevilla dalam final Liga Europa esok.
Jurulatih kelahiran Portugal itu mengambil langkah melampau bagi memastikan tiada rahsia ‘bocor’ sebelum pertemuan di Arena Puskas, Budapest.
Akhbar Itali, Corriere Dello Sport melaporkan polisi itu dilaksanakan sejak kelmarin.
Hanya kakitangan penting dibenarkan masuk ke pangkalan latihan untuk sesi minggu ini seperti pegawai teknikal dan perubatan.
Mourinho tidak pernah kalah setiap kali memasuki final Eropah, manakala Sevilla menang enam kali daripada enam penampilan akhir Liga Europa.

Mourinho memiliki lima gelaran Eropah iaitu dua Liga Juara-Juara Eropah, dua Liga Europa dan tahun lalu menjulang Liga Konferensi Europa bersama Roma.
Jika Roma muncul juara esok, Mourinho akan mengatasi rekod Giovanni Trapattoni yang menang lima trofi Eropah sebagai jurulatih.
“Saya kini jurulatih dan manusia yang lebih baik tetapi memiliki DNA yang sama.
“Saya fikir anda akan menjadi lebih baik dengan pengalaman. Fikiran anda lebih tajam dan pengumpulan pengetahuan bertambah baik setiap tahun,” kata Mourinho yang meraih gelaran Liga Juara-Juara pertama bersama Porto pada 2003. – AGENSI