PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus disahkan tidak mengalami kecederaan serius selepas terlibat dengan kemalangan ketika bersaing hebat dalam acara akhir keirin Piala Trek Hong Kong 2023 yang berlangsung semalam.
Perkara ini dimaklumkan oleh ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley yang mengesahkan Shah Firdaus sudah pun mendapatkan pemeriksaan dan rawatan rapi daripada pihak perubatan.
Acara itu dimenangi jaguh negara, Datuk Azizul Hasni Awang yang juga merupakan pingat emas ketiganya dalam kejohanan ini.
Bagaimanapun Shah dinasihatkan untuk tidak mengambil bahagian dalam acara pecut yang akan berlangsung pada malam ini kerana basikal dan topi keledarnya mengalami kerosakan.
Pelumba kelahiran Johor itu tidak berupaya untuk menamatkan perlumbaan dalam acara keirin kelmarin selepas terlibat dalam kemalangan di pusingan terakhir.
“Shah berada dalam keadaan yang baik cuma dia tidak akan berlumba dalam acara pecut esok kerana basikal dan topi keledarnya rosak.
“Selepas melakukan pemeriksaan dengan doktor, Shah diberikan rawatan selain untuk memastikan bahawa tidak ada gegaran otak.
“Walaupun dia berada dalam keadaan yang baik dan badannya tidak terhantuk teruk, dia sepatutnya akan kembali berlatih semula pada Rabu,” jelas Beasley.