Safawi tidak akan ke Kelantan FC

Safawi tidak akan ke Kelantan FC

KELANTAN FC menafikan Safawi Rasid dalam perjalanan menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan, Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman meminta penyokong The Red Warriors (TRW) ‘bertenang’ dan tidak terlalu ghairah mengharapkan kemasukan nama besar ke dalam pasukan, sambil menafikan spekulasi mereka akan mendapat khidmat Safawi Rasid.

Tegas Norizam, berita yang mengaitkan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akan menyertai TRW pada jendela perpindahan Julai ini hanya khabar angin.

“Saya minta semua pihak tidak membuat sebarang andai­an dan mengeluarkan kenya­taan mengenai perkara ini.

“Jadi minta semua bersabar dan menghentikan segala spekulasi,” katanya kepada ­Utusan Malaysia.

Safawi, 26, yang berasal dari Dungun, Terengganu kini ­beraksi dalam Liga 1 Thailand bersama Ratchaburi FC secara pinjaman daripada JDT.

Dia dikatakan mahu kembali ke tanah air selepas sukar menyesuaikan diri, dan spekulasi mengatakan pantai timur menjadi destinasi pemain tersebut.

Begitupun sejak beberapa hari lalu, Kelantan FC dikaitkan pasukan pilihan untuk mendapat Safawi, terutama selepas Norizam baru-baru ini meluahkan hasrat meminjam pemain JDT.

“Kalaulah TMJ (Tunku Mah­kota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) perkenan, pemain mana fans (penyokong) Kelantan nak loan (pinjam) daripada JDT,” kata Norizam dalam hantaran di Facebook, Isnin lalu yang mencetuskan spekulasi.

Penyokong mula membuat andaian siapa pemain yang mahu dipinjam se­suai dengan taktikal jurulatih, Frank Bernhardt.

Selain pertahanan, ramai mahu penyerang dibawa masuk memandangkan TRW perlu menambah baik jentera serangan mereka.

Dengan hubungan baik antara Norizam dan pemilik JDT, Tunku Ismail, Safawi dilihat lebih cerah ke Kelantan berbanding Terengganu FC atau Sri Pahang.

Safawi sebelum ini dikaitkan dengan Tok Gajah yang sudah mendapatkan khidmat tiga pemain JDT secara pinjaman iaitu Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq dan Izham Tarmizi.

Bagai­mana­pun, khidmat bin­tang Harimau Malaya itu turut ditagih Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bagi membantu pasukan yang dalam prestasi tidak menentu.

Steinbruckner baru-baru ini mengakui beliau mahu me­minjam Safawi jika dibenarkan oleh JDT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.