Masa pemain naturalisasi buktikan mereka hebat

Masa pemain naturalisasi buktikan mereka hebat

SERGIO Aguero antara pemain naturalisasi yang dimiliki Harimau Malaya ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas memberi status naturalisasi kepada beberapa pemain luar, sekarang tiba masanya buat semua tonggak ‘import’ Malaysia itu untuk membuktikan keistimewaan yang diberi kepada mereka berbaloi apabila Harimau Malaya berdepan ujian getir Piala Asia di Qatar tahun depan.

Dalam undian yang dilakukan kelmarin, skuad bimbi­ngan Kim Pan Gon diletak dalam Kumpulan E bersama juara dua kali, Korea Selatan.

Malaysia bakal beraksi dalam kejohanan yang berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februa­ri itu sebagai pasukan ranking paling lemah dalam peringkat kumpulan dengan menghuni tangga ke-138 berbanding Korea (27), Jordan (84) dan Bahrain (85).

Begitupun bekas pengendali skuad kebangsaan, B. Sathianathan berkata, Harimau Malaya mampu menghadirkan kejutan andai beberapa tonggak naturalisasi yang diturunkan dapat mencipta impak setanding bintang antarabangsa lain.

Ketika ini, Malaysia memiliki beberapa pilihan pemain ‘import’ termasuk Paulo Josue, Dos Santos, Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula, Lee Tuck dan Sergio Aguero.

“Sekarang kita ada beberapa naturalisasi dan mereka ini menjadi harapan. Saya sendiri pun mahu tengok juga sejauh mana mereka ini menyumbang kepada skuad negara ketika khid­mat mereka diperlukan.

“Adakah pemain ini hebat dan betul-betul layak mewakili skuad kebangsaan? Jadi mereka kena buktikan dalam Piala Asia nanti dan kita akan menilai sejauh mana sumbangan mereka kepada pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Jordan pada 15 Januari sebelum bertemu Bahrain lima hari kemudian, diikuti Korea pada 25 Januari.

“Kita kena realistik dengan Piala Asia, semua pasukan yang layak adalah kuat. Mereka akan bawa pemain-pemain berkua­liti. Cuma, apa yang kita harapkan ialah, Malaysia mampu memberi tentangan.

“Pasukan kita baik sekarang tetapi kena usaha lagi untuk terapkan taktikal dan corak permainan yang diinginkan Pan Gon. Masih ada masa ke­rana ­Piala Asia bermula Januari. Sekarang terpulang kepada Pan Gon untuk bentuk pasukan.

“Apa yang penting kita kena pastikan pemain-pemain yang kita ada tidak mengalami sebarang kecederaan menjelang pusingan akhir di Qatar nanti selain mereka terus berada dalam ­prestasi terbaik di peringkat liga,” katanya.

Dalam pada itu katanya, melihat kepada ketiga-tiga pa­sukan yang berada bersama Harimau Malaya, Bahrain dilihat menjadi awan yang mungkin menjadi mangsa kejutan Malaysia.

“Bahrain kita biasa lawan namun, apabila bermain di Qatar, mereka lebih biasa dengan padang dan cuaca di sana tetapi tidak mustahil. Jordan, mungkin lawan yang kuat namun, apa pun boleh terjadi.

“Korea Selatan pula memang di kelas tersendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya