MUNICH: Sadio Mane bersedia meninggalkan Bayern Munich pada musim panas ini dengan Manchester United muncul destinasi pilihan perpindahan mengejutkan buat bekas penyerang Liverpool itu.
Mane menyertai Bayern Munich menerusi perjanjian bernilai 35.1 juta pound (RM197.06 juta) dari Anfield pada musim panas lalu.
Dia meninggalkan Reds selepas enam musim yang sarat dengan trofi, dan memberi alasan mahu mencari cabaran baharu.
Bintang Senegal itu menjaringkan 120 gol untuk Liverpool dalam 269 penampilan dan mengumpul enam trofi utama di bawah bimbingan Jurgen Klopp.
Bagaimanapun, karier Mane tidak berjalan lancar sejak tiba di Jerman. Dia kembali beraksi selepas digantung oleh Bayern bulan lalu kerana memukul rakan sepasukan, Leroy Sane ketika pasukan itu kalah 3-0 kepada Manchester City dalam kempen Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 31 tahun itu diketepikan daripada perlawanan menentang Hoffenheim di Allianz Arena sebagai hukuman bersama denda yang banyak.
Disebabkan masalah kecergasan, Mane bergelut untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama, dan gagal bersaing tempat dengan Sane, Serge Gnabry serta Thomas Muller.
Dia terus bergelut untuk merebut tempat di bawah pengurus baharu Bayern, Thomas Tuchel dan hanya bermain enam minit ketika juara Bundesliga itu mengalahkan
Schalke 6-0, Sabtu lalu.
Menurut Sky Sport, penyerang itu tidak mempunyai masa depan di Munich, malah Bayern juga mahu melepaskan bintang Portugal, Joao Cancelo yang dipinjam daripada Manchester City.
BREAKING: Sadio Mane and Joao Cancelo do not have long term futures at Bayern Munich, according to Sky Germany ⚽❌ pic.twitter.com/8rVaboTfev
— Sky Sports News (@SkySportsNews) May 16, 2023
Hanya kelab Liga Perdana Inggeris mampu membeli penyerang berpengalaman itu, tetapi perpindahan ke Liverpool tidak mungkin berlaku kerana Reds sudah memiliki Darwin Nunez dan Cody Gakpo yang semakin menunjukkan keserasian.
Sky Sports mendakwa, United, bersama Newcastle, adalah dua kelab yang paling berkemungkinan untuk menandatangani Mane.
Dalam satu wawancara tahun lalu, Mane mendedahkan dia hampir berpindah ke Old Trafford pada 2016 sebelum memilih Liverpool.
“Saya perlu katakan, saya benar-benar hampir pergi ke Manchester United.
“Saya mempunyai kontrak di sana. Saya telah mencapai persetujuan, malah semua sudah sedia, tetapi sebaliknya, saya fikir, ‘Tidak, saya mahu pergi ke Liverpool,” kata Mane dalam wawancara itu. – AGENSI