Malaysia elak 'melapetaka' berulang pada Sukan Asia

Malaysia elak ‘melapetaka’ berulang pada Sukan Asia

AZIZULHASNI Awang akan menggalas tugas memburu pingat emas pada Sukan Asia di China, September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan Malaysia mencapai sasaran 40 ­pingat emas dalam Sukan SEA 2023 yang menutup tirai semalam memberi bayangan ‘menakutkan’ apa akan berlaku pada Sukan Asia di Hangzhou, China bermula September depan.

Kontinjen negara melengkapkan kempen di Kemboja de­ngan 34 pingat emas, enam emas tersasar daripada sasaran diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Pada edisi terakhir Sukan Asia di Palembang 2018, kontinjen negara membawa pulang tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.
Kesemua emas disumbangkan tenpin boling (dua), skuasy (dua), sepak takraw (satu), pelayaran (satu) dan berbasikal trek (satu).

Boling tidak akan dipertan­dingkan pada edisi ke-19 Sukan Asia di Hangzhou, sepak takraw masih gagal menyaingi Thailand di Sukan SEA Kemboja apabila pulang tanpa emas.

Berbasikal trek, Malaysia masih bergantung kepada Datuk Azizulhasni Awang untuk mempertahankan emas.

Karate berharap kecemerlangan di Kemboja dapat diteruskan pada Sukan Asia Hangzhou.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, tujuh emas yang diraih di Indonesia, lima tahun lalu mungkin sukar diulangi kecuali kejutan mampu dilakukan beberapa sukan, terutama tempur.

“Kalau kita lihat, acara yang cemerlang di Kemboja banyak sukan tempur tetapi kalau di China nanti, saingannya lebih sukar.

“Macam wusyu mungkin kita boleh harapkan Tan Cheong Min tetapi untuk karate, taekwondo dan lain-lain, kita mengharapkan kejutan.

“Badminton sukar…walaupun kita tak hantar pemain utama ke Sukan SEA tetapi prestasi semasa atlet yang akan ke Sukan Asia pun tidak konsisten.

“Cuma kali ini (Sukan Asia), skuasy boleh menjadi harapan emas tapi kita tidak boleh terlalu selesa kerana Hong Kong dan Pakistan juga kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

TAN Cheong Min meraih dua pingat emas dalam wusyu.

Cheong Min membutirkan dua pingat emas dalam penampilan pertamanya pada Sukan SEA, manakala karate menghadiahkan empat emas dan taekwondo dengan tiga emas.

Terjun yang menyapu empat emas di Kemboja pula bukan tandingan China pada Sukan Asia nanti.

Pencapaian 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa yang diraih di Kemboja meletakkan Malaysia menutup kempen di tangga ketujuh pungutan pingat keseluruhan – kedudukan terburuk dalam sejarah Sukan SEA.

Lebih mengecewakan, Malaysia yang menghantar kekuatan 676 atlet – antara yang terbesar di luar Kuala Lumpur berada di belakang Kemboja, Filipina dan Singapura.

PEKAN RAMLI

Mengenai basikal trek yang tidak dipertandingkan di Kemboja, Pekan berkata, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada Azizulhasni untuk biarpun dia adalah prospek emas negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kita tak boleh bergantung sepenuhnya kepada Datuk Azizulhasni (Awang).

“Walaupun beliau menjadi sandaran emas pertama Sukan Olimpik 2024, tetapi pelumba pelapis juga perlu membantu dan mencabar. Buat masa ini, selain Azizulhasni, saya rasa kita boleh cuba harapkan Shah Firdaus Sahrom,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya