LONDON: Kapten Tottenham, Hugo Lloris ditawarkan gaji tiga kali ganda daripada yang diterima di Spurs ketika ini jika berpindah ke Liga Pro Saudi.
Ketika ini, penjaga gol Perancis itu menikmati gaji 100,000 pound (RM562,041) seminggu dan kontraknya bersama Tottenham akan tamat hujung tahun depan.
Spekulasi bertiup kencang, Lloris, 36, yang sudah 11 musim bersama Spurs mungkin meninggalkan kelab London itu lebih awal kerana bergelut dengan prestasi serta kontrak yang hampir tamat.
Menurut akhbar Times, sebuah kelab dalam Liga Pro Saudi menawarkan Lloris perjanjian lumayan.
Perpindahan ke Arab Saudi terbukti memikat beberapa pemain termasuk Cristiano Ronaldo dan Sergio Busquets, selain Lionel Messi juga berpotensi berubah angin ke sana.
Persembahan Lloris musim ini agak goyah dan kecederaan yang dialaminya ketika Tottenham dibelasah 6-1 oleh Newcastle pada 23 April lalu memburukkan lagi keadaan.
Walaupun Fraser Forster mempamer prestasi memberangsangkan sepanjang mengambil alih posisi Lloris, namun kelab tetap mahu mencari penjaga gol baharu dengan Caoimhin Kelleher dari Liverpool menjadi pilihan utama mereka.
Lloris telah membuat 447 penampilan untuk kelab utara London itu sejak menyertai mereka dari Lyon pada 2012.
Walaupun dia gagal memenangi sebarang trofi bersama kelab, namun dia berjaya menjulang Piala Dunia ketika mewakili Perancis pada 2018.
Lloris juga telah lama menjadi kapten Perancis sebelum mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa pada penghujung Piala Dunia 2022 di Qatar.
Pasukan yang diwakili Ronaldo, Al-Nassr, selain Al-Hilal dan Al-Ittihad antara mempunyai kemampuan menawarkan gaji tinggi kepada pemain bintang. – AGENSI