PETALING JAYA: Jangan terlalu yakin dan memandang Kuala Lumpur (KL) City sebelah mata kerana mereka mampu mengejutkan Sang Badak seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Itu amaran pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee kepada pemainnya menjelang pertemuan menentang skuad City Boys pada suku akhir Piala FA di Stadium Likas hari ini.
Masih dibayangi kekalahan 2-0 kepada KL City dalam aksi terakhir Liga Super di Cheras pada 5 April lalu, Kim Swee mengakui, beraksi di laman sendiri bukan satu kelebihan.
Katanya, jurulatih lawan, Bojan Hodak mempunyai pengalaman amat luas untuk mencorak strategi dan mampu menghukum mereka.
“Perlawanan ini juga berbeza kerana kami bertemu di peringkat kalah mati dan tiada timbal balik. Kita tahu KL City ada banyak pengalaman apabila bermain di peringkat ini, jadi kena berwaspada.
“Kita kena bersedia dalam apa jua kemungkinan (termasuk sepakan penalti), dalam sesi latihan kita praktikkan semua taktikal yang dirancang kerana kita tidak tahu apa akan berlaku kerana perlawanan ini berbeza dengan pertandingan liga.
“KL City datang ke Kota Kinabalu tanpa tekanan, setiap pasukan yang layak ke suku akhir akan beri yang terbaik untuk ke peringkat lebih jauh. Jadi, saya jangkakan aksi sengit,” katanya.
Sabah menempah tiket ke suku akhir selepas mengalahkan Kelantan United 2-0, manakala KL City menumpaskan Imigresen FC 2-0.
Ditanya sama ada Sabah akan mengawal ketat mana-mana pemain KL City, Kim Swee berkata, pasukannya tidak akan memberi tumpuan kepada individu sebaliknya fokus kepada satu pasukan.
Mengulas persediaan pasukannya, Kim Swee mengakui ada beberapa pemain masih dalam proses pemulihan selepas menumpaskan Perak 3-1 dalam aksi terakhir liga di laman sendiri, Selasa lalu.