LIVERPOOL: Jurgen Klopp mengakui, Liverpool akan melakukan rombakan di semua posisi musim depan kecuali penjaga gol.
Pengurus Liverpool itu akan mengucapkan selamat tinggal yang penuh emosi kepada empat tonggak mereka, James Milner, Roberto Firmino, Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keita, sekali gus membuka bab baharu untuk kelab itu.
Reds bakal membawa masuk beberapa muka baharu apabila pintu perpindahan dibuka, dengan Alexis Mac Allister, Mason Mount dan Matheus Nunes menjadi sasaran di bahagian tengah.
Pengarah Sukan Liverpool yang baharu, Jorg Schmadtke juga dijangka terbabit dalam proses menandatangani pemain.
Kata Klopp, bukan bahagian tengah sahaja akan mengalami perubahan, malah mereka juga menyasarkan pertahanan tetapi tidak menyebut tentang serangan.

“Kami melihat semua posisi (untuk dirombak) ketika ini, kecuali penjaga gol.
“Ya, jika ada (pemain pertahanan) yang bagus di luar sana, saya tidak akan menolak. Kami melihat semua kawasan padang, pastinya,” kata jurulatih dari Jerman itu.
Ketika ini, Alisson Becker menggalas tugas penjaga gol No. 1 Liverpool, manakala Caoimhin Kelleher menjadi penjaga gol kedua.
Mengenai kemasukan Schmadtke bagi menggantikan Julian Ward, Klopp enggan mengulas sama ada ia akan merubah polisi kelab,
“Schmadtke, saya telah lama mengenalinya. Dia juga mengenali saya, kerjaya kami bermula dalam masa hampir sama. Saya menjadi jurulatih di Mainz dan dia menjadi pengarah sukan di Aachen.
“Dua pasukan yang mempunyai status yang sama, jadi dari situ kami mengenali satu sama lain sedikit sebanyak. Saya tahu dia seorang yang baik dan bijak,” katanya. – AGENSI