MANCHESTER: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes mengakui, mereka gembira melihat Liverpool gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.
Pengendali Red Devils, Erik Ten Hag pula mengakui, kejayaan kembali ke kancah elit Eropah ibarat memenangi trofi.
Kemenangan 4-1 ke atas Chelsea semalam memastikan United menutup musim dengan berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Liverpool pula terpaksa berpuas hati hanya akan bermain dalam saingan kelas kedua, Liga Europa.
Jaringan Casemiro, Anthony Martial, Fernandes serta Marcus Rashford membolehkan United naik ke tangga ketiga, dua mata mengatasi Newcastle United.
“Kami tahu ia amat bermakna (kepada peminat).
“Kami juga tahu kami gembira Liverpool tidak berada di sana tetapi paling penting, kami meraih yang terbaik untuk diri sendiri,” kata Fernandes kepada Sky Sports.

Kemenangan United bermakna, apa pun yang berlaku dalam aksi terakhir liga menentang Fulham esok tidak akan menggugat mereka.
Sementara itu bagi Ten Hag, persaingan merebut kelompok empat teratas liga terlalu sukar.
“Sekarang kami sudah layak ke Liga Juara-Juara dan ia tidak mudah. Persaingan dalam Liga Perdana amat sengit, jadi kejayaan ini sangat besar.
“Kami belum berada di tempat yang kami mahukan (muncul juara), namun kami kembali ke Liga Juara-Juara dan saya fikir itu langkah yang sangat penting,” kata Ten Hag
30/20 – Marcus Rashford is the first @ManUtd player to score 30 goals in a season (all competitions) since Robin van Persie in 2012-13, and the first to net 20 at Old Trafford since Wayne Rooney in 2009-10. Prolific. #MUNCHE pic.twitter.com/6sYrRF2DVm
— OptaJoe (@OptaJoe) May 25, 2023
Biarpun gembira dengan kemenangan ke atas Chelsea, Ten Hag bimbang dengan kecederaan buku lali yang menimpa Antony yang dibawa keluar pada babak pertama.
Kecederaan itu hadir ketika mereka bakal berdepan Manchester City dalam final Piala FA pada 3 Jun ini, sekali gus menghalang musuh sebandar itu meraih gelaran treble.
“Kami ada pertarungan lebih besar minggu depan dan akan melakukan apa sahaja untuk menang,” kata Ten Hag. – AGENSI