PUTRAJAYA: Sukan SEA adalah pentas untuk memberi pendedahan kepada atlet pelapis sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti Sukan Asia dan Olimpik.
Itu penegasan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika menjawab kritikan bahawa sasaran 40 pingat emas yang diletakkan dalam temasya Kemboja 2023 terlalu rendah sedangkan Malaysia menghantar kontinjen besar – 676 atlet.
Menurut Hannah, edisi ke-32 temasya yang akan membuka tirai di Phnom Penh, Jumaat ini memberi peluang kepada atlet muda mencari sebanyak mungkin pengalaman.
“Fokus Sukan SEA adalah pembangunan dan persaudaraan. Sebab itu, kita buat keputusan untuk bagi barisan pelapis (memperoleh) lebih banyak latihan dan pendedahan dulu supaya pada Sukan Asia dan Olimpik, kita akan ada barisan pelapis dan atlet muda yang mempunyai pengalaman… fokus itu diberikan untuk Sukan SEA Kemboja ini,” kata Hannah.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pengumuman Pemberian Bantuan Program dan Aktiviti Pembangunan Belia dan Sukan di Menara KBS, hari ini.
Berdasarkan rekod, kontinjen negara di Kemboja dibarisi 927 orang merangkumi 676 atlet dan 251 pegawai yang dijadual menyertai 34 daripada 36 sukan dipertandingkan.
Daripada jumlah 676, 387 atlet berusia di bawah 23 tahun, manakala 440 daripadanya hanya membuat penampilan sulung pada temasya dwitahunan itu.
Hannah sebelum ini mengumumkan sasaran negara di Phnom Penh adalah 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa selain optimis atlet mampu mencipta kejutan dan mampu untuk menambah jumlah pungutan pingat keseluruhan.
Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan ruangan khusus di laman sesawang www.kbs.gov.my untuk tujuan permohonan dana dan peruntukan bagi membiayai aktivi berkaitan pembangunan belia dan sukan.
“Ketika sesi libaturus sebelum ini ramai yang membangkitkan perkara tidak tahu memohon peruntukan dan siapa mendapat peruntukan berkenaan. Jadi kita mengambil langkah dengan memperkenalkan satu ruangan khusus agar pentadbiran untuk perkara ini nampak lebih telus.
“Ruangan berkenaan menyenaraikan pemberian bantuan dan setakat ini (Mei 2023) sudah ada 32 permohonan merangkumi jumlah keseluruhan sebanyak RM880,050.
“Senarai kelulusan penerima bantuan akan dikemaskini dari semasa ke semasa bagi rujukan dan semakan oleh orang ramai terutamanya di kalangan pemegang taruh belia dan sukan. Sekiranya mana-mana badan yang menerima peruntukan tidak menjalankan aktiviti berkenaan, ia boleh dilaporkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Amalan tadbir urus (governance) dan tatakelola yang telus, tertib dan teratur adalah komitmen dan keutamaan KBS, terutamanya melibatkan pemberian bantuan, termasuk hebahan mengenai penerima bantuan,” katanya.
Setakat ini antara penerima dana tertinggi iaitu berjumlah RM100,000 dipohon Persatuan Footgolf Malaysia dan Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM). – UTUSAN ONLINE