LONDON: Jordan Pickford berkata, dia telah melakukan ‘kerja rumah’ tentang James Maddison dan menulis kajiannya di botol air ketika membantu Everton seri 2-2 dengan Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.
Maddison berpeluang meletakkan Leicester 3-1 di depan selepas tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti gara-gara Michael Keane menampan hantaran lintang Harvey Barnes dengan lengannya.
Begitupun tendangannya pada waktu kecederaan babak pertama mudah diselamatkan penjaga gol Everton itu.
Dalam aksi mendebarkan di Stadium King Power tersebut, Alex Iwobi menyamakan kedudukan 2-2, sembilan minit selepas separuh masa kedua bersambung.
Kamera televisyen sempat menyorot ke arah botol air di tepi gawang yang tertulis beberapa maklumat untuk digunakan oleh Pickford.
Selain Maddison, botol air itu turut menyimpan data Youri Tielemans dan Jamie Vardy.
Maklumat mengenai Maddison tertulis: ‘STAY CENTRE’. Ia menunjukkan 60 peratus daripada penalti pemain tengah itu diperoleh di bahagian tengah, dengan 20 peratus kiri dan 20 peratus kanan.
“Madders (Maddison) perlu belajar daripada pelajarannya! Dia tidak bermain poker dengan bunyi yang kuat.
“Untuk berlaku adil, saya membuat kerja rumah. Saya mengkaji pagi ini ke arah mana saya harus pergi (jika berdepan sepakan penalti).
“Dia menjangkakan saya akan merebahkan badan, jadi saya menggertaknya dua kali sebelum ‘menyerang’ ,” kata Pickford kepada Sky Sports. – AGENSI