LONDON: Pemilik mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL) dan empat pasukan yang akan berentap dalam Liga-Juara musim depan sudah pun diketahui.
Manchester City telah mengesahkan kejuaraan hatrik, Arsenal bergelar naib juara, manakala Manchester United dan Newcastle akan bersaing untuk tempat ketiga.
Liverpool dan Brighton masing-masing menutup kempen di tangga kelima serta keenam untuk slot ke Liga Europa.
Tiket terakhir Liga Europa menjadi perebutan di antara Aston Villa (7), Tottenham (8) dan Brentford (9).
Perlawanan terakhir liga hari ini lebih tertumpu kepada siapa bakal mengikut jejak Southampton ‘ditendang’ dari liga utama bola sepak England itu.
Secara matematik, Leeds United (19), Leicester City (18) dan Everton (17) masih berpeluang untuk menyelamatkan diri.
Super komputer AI (Kecerdasan Buatan) bagaimanapun memberi Everton 79.6 peratus peluang untuk selamat, bermakna Leicester akan tersingkir, hanya dua tahun selepas menjulang Piala FA.
Everton yang berada dua mata di atas zon penyingkiran dengan 33 mata akan menerima kunjungan Bournemouth di Goodison Park.
Kemenangan akan mengekalkan tempat mereka dalam EPL, kalah atau seri pula bermakna mereka perlu menanti apa yang berlaku dengan Leicester dan Leeds.
Leicester dan Leeds terikat dengan 31 mata, dan kedua-duanya juga akan beraksi di tempat sendiri.
The Foxes akan menentang West Ham, manakala Leeds berdepan cabaran getir Tottenham.
Menurut ramalan AI, peluang Leicester untuk tersingkir adalah 82.8 peratus dan 97 peratus pula diberikan kepada Leeds. – AGENSI