PETALING JAYA: Kelantan FC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama baik The Red Warriors (TRW) dengan menyebarkan fitnah liar dan bersifat jahat.
Bahagian Perundangan TRW Kelantan FC juga memberi amaran kepada pengguna media sosial tempatan agar berhenti menyebarkan tuduhan-tuduhan daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai ejen bekas jurulatih mereka, Choi Moon-sik yang direhatkan baru-baru ini.
Kelab dalam satu kenyataan semalam berkata, tuduhan-tuduhan liar yang tular di media sosial oleh seorang individu berbangsa Korea yang mengakui dirinya ejen kepada bekas Ketua Jurulatih Kelantan FC jelas fitnah dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi mereka.
Tegas mereka, individu tersebut bukan ejen sah yang berdaftar atau mempunyai kaitan kontrak dengan Kelantan FC yang kini mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Individu tersebut telah memuat naik dalam media sosialnya kononnya Kelantan FC tidak menyediakan penginapan bersesuaian dan selesa kepada bekas ketua jurulatih dengan menunjukkan gambar keadaan sinki dalam tandas pecah.
“Individu tersebut juga memuat naik gambar yang didakwa makanan yang disediakan Kelantan FC kepada pemain yang kononnya hanyalah sekadar nasi dan ayam sahaja, namun mengikut bukti simpanan Kelantan FC pemain-pemain Kelantan FC disajikan makanan seimbang cukup dengan karbohidrat seperti nasi dan spageti.
“Individu tersebut juga berulang kali menuduh Kelantan FC gagal membayar gaji pemain dan pegawai kelab telah tertunggak dua bulan. Hakikatnya dakwaan ini palsu di mana pihak kelab adalah sangat komited terhadap isu gaji pemain dan telah membuat bayaran penuh gaji, selain tidak akan membiarkan tunggakan melebihi dua bulan,” kata TRW.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mula mengarahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyiasat isu melibatkan pasukan berkenaan.
Tindakan FAM itu antara lain tidak mahu situasi membabitkan ejen jurulatih dari Korea Selatan dan Kelantan FC itu menjadi lebih parah dan memburukkan imej bola sepak tempatan yang kini dalam proses transformasi.