JAKARTA: Sakit hati dengan nasib malang Indonesia yang dilucutkan hak tuan rumah bola sepak Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023, pengendali Garuda, Shin Tae Yong mahu menebus kecewa dengan membawa negara itu melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.
Kata jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata, dia akan setia melatih Indonesia B-20 dan pasukan Garuda senior, bahkan bertekad memahat sejarah menjadi negara Asia Tenggara pertama meraih tiket ke kejohanan berprestij tersebut.
Indonesia bukan sahaja hilang hak penganjuran edisi ke-24 Piala Dunia B-20, malah terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dijangka memilih Argentina sebagai tuan rumah baharu.
Argentina satu-satunya negara yang menawar diri menjadi tuan rumah selepas Indonesia disingkirkan ekoran penentangan terhadap penyertaan Israel.
Itu bermakna, Argentina yang gagal melayakkan diri akan mengambil tiket automatik yang sebelum ini diberikan kepada Indonesia.
“Pertama, hati saya sakit. Saya sendiri keletihan, jadi saya dapat rasakan betapa letihnya pemain yang sudah melakukan persiapan sejak tiga tahun.

“Saya hanya duduk di dalam bilik. Melihat pemain amat terluka, saya tidak mahu menunjukkan kepada mereka betapa saya juga merasai kesakitan itu.
“Begitupun seperti kata Bapa Zainudin Amali (Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI)), walaupun Piala Dunia B-20 kita dilucutkan tapi kita masih berpotensi menjadi peserta tidak kira di negara mana Piala Dunia (senior) diadakan.
“Jadi, selepas ini kita akan fokus kepada pasukan senior. Kami akan mempersiapkan skuad yang boleh melayakkan diri ke Piala Dunia,” katanya dalam pertemuan dengan pasukan B-20 kelmarin.
Tae Yong menyasarkan untuk membawa Indonesia layak ke Piala Dunia 2026 kerana kejohanan itu akan menambah peserta kepada 48 negara.
“Selepas ini, tumpuan akan diberikan kepada pasukan senior untuk perlawanan kalendar FIFA dan Piala Asia.
“Sasaran kami adalah mereka boleh layak ke Piala Dunia 2026 kerana ada laoan tiket ditawarkan kepada wakil Asia,” katanya. – AGENSI