LIKAS: Pasukan Sabah menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memastikan slot ke suku akhir Piala FA menjadi milik mereka selepas menumpaskan Kelantan United dengan keputusan 2-0 sebentar tadi.
Aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu menyaksikan tuan rumah bermula dengan cukup agresif sebaik wisel permainan dibunyikan.
Serangan bertali arus mereka berhasil apabila Baddrol Bakhtiar berjaya memecah tirai jaringan seawal minit ke 12 untuk menewaskan penjaga gol Kelantan United, Ilham Amirullah Razali.
Aksi di babak kedua juga tidak banyak beza apabila Sabah berjaya menguasai perlawanan dan kelebihan itu dimanfaatkan Stuart Wilkin yang berjaya menyempurnakan hantaran pemain import, Kwang Min Ko pada ke 58 untuk menggandakan jaringan buat tuan rumah.
Jailton Da Silva hampir menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke 73, bagaimanapun jaringannya tidak dikira oleh pengadil perlawanan, S.Logeswaran kerana berlaku kekasaran terhadap Ilham.
Bagaimanapun dua jaringan yang dimiliki Sabah itu kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus membawa mereka ke pusingan suku akhir dan bakal berentap dengan Kuala Lumpur City.