PETALING JAYA: Selepas pasukannya dipaksa berhempas pulas untuk menang 1-0 dalam aksi Liga Super kelmarin, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak melihat pertemuan menentang PDRM FC sebagai sukar, sebaliknya membosankan.
Kata Solari, tiada apa yang mampu dilakukan untuk merubah keadaan kerana permainan bertahan bukan satu ‘dosa’ dan apa yang dilakukan The Cops dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bukan kesalahan.
Dengan lawan berkampung di kawasan sendiri dalam sebahagian besar permainan, pertemuan ‘antara dua darjat’ itu tidak menampilkan adegan serang menyerang yang mampu menaikkan keterujaan serta keseronokan penyokong.
“Pada saya ia bukan perlawanan yang sukar, sebaliknya lebih kepada membosankan. Pasukan yang sukar adalah lawan yang mampu memberi tentangan kepada kami tetapi PDRM saya rasa banyak bertahan dan melambatkan masa.
“Saya tidak salahkan mereka kerana ini strategi masing-masing. Inilah bola sepak, semua pasukan boleh bermain seperti dimahukan, ia bukan satu kesalahan,” katanya.

Dalam aksi kelmarin, JDT yang selama ini gah membedil lawan mereka dengan jaringan besar dipaksa menunggu sehingga minit ke-61 untuk menembusi gawang PDRM menerusi penyerang berbisa, Fernando Forestieri.
Biarpun lawan kehilangan seorang pemain selepas Kyaw Min Oo dibuang padang pada minit ke-74 kerana mengutip kad kuning kedua, JDT masih gagal menambah jaringan.
“Saya rasa bola sepak akan jadi cantik bila anda menyerang dan memiliki kreativiti.
“Kami amat mementingkan persembahan yang hendak diberikan kepada penyokong kerana ia sukan yang harus dinikmati,” kata Solari.
Biarpun tiada pesta gol di Petaling Jaya, namun tiga mata yang dibawa pulang memadai untuk mengukuhkan kedudukan JDT sebagai pendahulu Liga Super dengan mengumpul 27 mata maksimum daripada sembilan perlawanan.