PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC akan meletakkan lima pertahanan bagi memastikan gawang mereka tidak bolos dengan jaringan besar apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan kedua Piala FA malam ini.
Melihat Kedah, Sabah, Selangor dan Negeri Sembilan yang dianggap pasukan kuat diratah mudah oleh Harimau Selatan membuatkan The Cops meningkatkan ‘tahap keselamatan’ bagi memastikan nasib malang tidak menimpa mereka.
Pengendali PDRM FC, Azzmi Ab. Aziz tanpa berselindung mengakui, sasaran pasukannya di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan mencari kemenangan tetapi mengelak terkena ‘bedilan’ gol.
“Apa yang boleh saya cakap, kami akan bertahan dan sesekali buat serangan balas. Misi sebenar kami adalah mengecilkan margin gol dan mengelak jadi pasukan belasahan.
“Pihak pengurusan sudah sedia maklum perkara ini kerana memang mustahil untuk atasi JDT.
“Sukar untuk kata akan buat kejutan, namun kita tetap berusaha mencari keputusan positif.
“Apa yang pasti kita akan bertahan. Sebelum ini, kita guna empat pertahanan dan bertemu JDT, saya akan guna lima pertahanan bagi mengekang asakan jentera serangan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azzmi berkata, pertembungan itu juga menjadi medan pendedahan baut pemainnya untuk belajar sesuatu dan ia akan menjadi bekalan bagi menghadapi aksi seterusnya.
“Pertembungan ini lebih kepada medan pemain mencari pendedahan kepada suasana di SSI kita mahu tengok bagaimana cara mereka bermain dan sistem intensiti tinggi yang diterapkan.
“Kita belajar dan baiki dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Negeri Sembilan merupakan mangsa amukan terbesar JDT musim ini apabila dibelasah 7-0 dalam aksi Liga Super, manakala Kedah menjadi mangsa terbaharu selepas dibedil 6-0 pada perlawanan terakhir, Ahad lalu.
Sabah FC dan Selangor yang disebut-sebut sebagai bakal menjadi pencabar terkuat Harimau Selatan turut dibelasah 4-0.
JDT juga membelasah Kelantan FC 5-1 dan Perak FC 5-0.