Penyudah tumpul halang Sabah raih mata penuh

Penyudah tumpul halang Sabah raih mata penuh

PENYERANG Sabah FC, Jailton Paraiba (kanan) bersaing dengan penyerang Negeri Sembilan, Casagrande dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketumpulan penyudah walaupun memiliki deretan peluang dilihat sebagai punca Sabah FC gagal membawa pulang tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC semalam yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata, walaupun beraksi di tempat lawan, pasukan kendaliannya dilihat lebih banyak menguasai perlawanan malah pemain juga tampil bersemangat memburu gol walaupun terlebih dahulu ketinggalan.

“Kami mencipta banyak peluang banyak dan yang positif  pemain tidak mengaku kalah, mereka bersungguh-sungguh. Kalau lihat memang kami layak  dapat tiga mata tetapi saya tahu bukan perkara mudah apabila bermain di tempat lawan, apabila dibolosi memang menyukarkan kami.

“Kami lebih banyak menguasai perlawanan pada separuh masa kedua, itu corak permainan kami, kekuatan dan kelebihan ada pada pasukan Sabah namun penyudah yang tumpul, itu perlu kami perbaki. Bagaimanapun, pemain berikan komitmen yang cukup tinggi di mana mereka tahu selepas tewas dua kali, bukan mudah untuk kembali.

ONG KIM SWEE

“Walaupun satu mata bagi saya ini merupakan mata penting daripada kehilangan mata, kerana ketiga-tiga perlawanan kami bermain di tempat lawan. Kami inginkan tiga mata di sini tetapi pasukan Negeri Sembilan menyukarkan kami dengan corak permainan bertahan dan hantaran-hantaran jauh kepada penyerang mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini. Gol Negeri Sembilan diperoleh menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Tommy Mawat Bada pada minit ke-21 sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi Taesu Park pada minit ke-75.

PERTAHANAN Negeri Sembilan, Herold Mark Goulon melakukan tandukan dalam aksi Liga Super menentang Sabah FC. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Sementara itu, pengendali Negeri Sembilan. K. Devan juga berpuas hati dengan satu mata yang diraih terutama menentang pasukan yang mempunyai lebih kualiti seperti Sabah.

“Sabah pasukan kuat dan mereka bermain baik. Walaupun kami jaringkan gol lebih awal dan lebih baik di separuh masa pertama namun pada separuh masa kedua mereka kawal perlawanan dan kami pula banyak bertahan/ Sebelum bermula perlawanan kami mengharapkan tiga mata tetapi selepas tamat saya cukup puas hati dengan satu mata ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN