KUALA NERUS: Pengendali Melaka FC, Pedro Hipolito optimis pasukan itu masih di landasan tepat untuk menepati sasaran musim ini iaitu memburu slot automatik ke Liga Super 2024.
Menurut jurulatih kelahiran Portugal itu, keyakinan tersebut hadir selepas melihat potensi pemain muda dan berpengalaman Melaka FC meskipun baru dibentuk empat bulan lalu.
“Pihak pengurusan mahu Melaka FC menerapkan disiplin dalam corak permainan dan ia memerlukan masa dan kerja keras di sesi latihan serta perlawanan.
“Kami juga diletakkan sasaran dua terbaik dalam Liga M3 seterusnya layak ke Liga Super 2024. Perjalanan masih jauh namun saya lihat pemain-pemain berusaha ke arah itu.
“Melaka FC menunjukkan kemampuan mampu memberi saingan kepada kelab Liga Super cuma dibezakan faktor pengalaman,” ujarnya selepas tewas 0-4 kepada Terengganu FC (TFC) kelmarin.
Kekalahan menyaksikan Melaka FC ditunjukkan jalan keluar dalam saingan Piala FA dan harus memberi tumpuan kepada Liga M3 yang sudah berlangsung tiga perlawanan.
Hipolito berkata, skuad kendaliannya bermula baik dalam setiap babak pada aksi tersebut namun akur kepada TFC yang disifatkan sebagai antara pasukan pilihan menjulang Piala FA tahun ini.
“Perbezaan paling ketara adalah TFC berada dalam momentum kemenangan manakala kami pula kali terakhir beraksi dalam liga adalah 19 Mac lalu. Jadi kami lewat mendapat rentak.
“Selepas bolos gol seawal minit kelima, pemain memberi respon baik sehingga menyukarkan TFC membuat gerakan, malah kami ada beberapa peluang menjaringkan gol.
“Begitu juga pada babak kedua, Melaka FC berupaya memberi tentangan malangnya pasukan lawan beraksi lebih baik berbaki 20 minit dengan menambah tiga gol,” katanya. – UTUSAN ONLINE