Kemenangan sulung suntik semangat Harimau Kumbang

Kemenangan sulung suntik semangat Harimau Kumbang

PEMAIN tengah Penang FC, Asnan Ahmad cuba melepaskan diri daripada kepungan pemain Perak FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya. - IHSAN PENANG FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN:  Kemenangan pertama yang diraih selepas mengharungi enam perlawanan Liga Super musim ini nyata melegakan pengendali sementara Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid ketika ini.

Manzoor Azwira berkata, kejayaan membenam Perak 3-1 dalam aksi di Stadium Bandaraya itu pastinya menyuntik semangat pasukan untuk mempamerkan persembahan lebih bertenaga dalam perlawanan-perlawanan yang seterusnya nanti.

Jelas beliau, kemenangan yang disifatkan begitu bermakna itu juga sekaligus membolehkan Harimau Kumbang merapatkan jurang mata dengan pencabar lain terutamanya dalam kelompok pertengahan liga selepas hampir menghuni tangga tercorot sebelum ini.

“Bagi saya, mata kita sebenarnya tak jauh berbeza daripada pasukan-pasukan lain dah (dalam Liga Super) ketika ini.

“Jadi, apa yang perlu kami buat ialah memberi fokus terhadap setiap perlawanan dan akan datang, kami akan bertemu Kedah di tempat lawan.

“Kedah satu pasukan yang kuat, namun, kami akan cuba untuk mendapatkan mata lagi bagi memastikan perbezaan mata itu (dengan pasukan lain) tidak begitu ketara,” katanya.

PEMAIN tengah Penang FC, Hadin Azman dikepung empat pemain Perak FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya. – IHSAN PENANG FC

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 47 tahun itu turut berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang menunjukkan banyak peningkatan berbanding dalam perlawanan terdahulu.

“Kita kena pastikan kedudukan pasukan akan lebih terjamin (selepas ini) supaya tiada tekanan lain akan berlaku (hingga mengganggu tumpuan pemain di atas padang),” katanya.

Tambah beliau, meskipun mengekalkan barisan pemain yang hampir sama dalam setiap perlawanan, peluang tetap diberikan kepada pemain muda untuk menyinar dalam pasukan dan mereka tetap akan diturunkan walaupun tidak lama demi menimba pengalaman.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim nyata berang dengan persembahan anak-anak buahnya pada separuh masa pertama perlawanan selepas ketinggalan dua gol termasuk gol seawal minit keenam yang dijaringkan ayam tambatan Penang FC, Soony Saad.

“Masuk separuh masa kedua, kami terpaksa menukar hampir semua pemain dan berjaya mengubah perlawanan (merapatkan jurang gol).

“Kebanyakan pemain kami adalah anak tempatan dan (situasi) ini tidak memberi kelebihan kepada kami apatah lagi kami terpaksa beraksi dengan dua pemain import sahaja berbanding mereka (Penang FC). Kami bergelut dalam perlawanan itu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya