PETALING JAYA: Berdepan lawan yang sengaja melengah-lengahkan permainan, membuang bola dan mencari ‘masalah’ di atas adalah cabaran baharu yang perlu dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Malaysia (Liga M) selepas ini.
Pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari berdepan pengalaman itu ketika pasukannya menumpaskan PDRM FC 3-0 kelmarin untuk mengesahkan tiket ke suku akhir Piala FA.
Pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim itu disulami pergaduhan pemain dan hanya menghasilkan gol pada babak pertama, namun separuh masa kedua berlangsung tanpa jaringan selepas pemain The Cops berkampung di kawasan sendiri.
Selain membuang masa, pertelagahan pemain merencatkan rentak permainan, dan Solari mahu anak-anak buahnya beradaptasi dengan taktik tersebut bagi memastikan fokus JDT untuk memburu kejuaraan tidak terjejas.
“Pada babak pertama pemain JDT tampil dengan mentaliti positif, memberi tekanan, mencipta peluang dan menjaringkan gol.
“Namun tidak mudah untuk menentang lawan yang meletakkan lima atau enam pemain di belakang, bertahan sepanjang masa.

“Ketika rehat, kami ada bercakap tentang lawan yang akan bertahan habis-habisan dan cuba melengahkan permainan, perkara beginilah yang saya bimbang boleh mengganggu tumpuan.
“Saya fikir pemain perlu belajar bagaimana berdepan situasi sebegini kerana pada akhirnya, kami ada tanggungjawab untuk bermain bola sepak pantas,” katanya selepas perlawanan.
Reputasi hebat JDT yang memenangi semua lapan perlawanan Liga Super musim ini dan meledak 36 gol mendorong pengendali PDRM FC, Azzmi Ab. Aziz menerapkan corak bertahan sejak awal permainan.
Dua jaringan Bergson da Silva pada minit ketiga dan 12, diikuti gol Leandro Velazquez (m-27) membimbangkan Azzmi hingga mendorongnya memperketatkan pertahanan.