Dua gergasi Milan berentap di separuh akhir Liga Juara-Juara

Dua gergasi Milan berentap di separuh akhir Liga Juara-Juara

Lautaro Martinez (kanan) turut meledak gol untuk membawa Inter Milan ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN: Inter Milan mengatasi tentangan mendebarkan Benfica pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi tadi untuk menempah pertemuan dengan musuh sebandar, AC Milan.

Perlawanan di San Siro berkesudahan 3-3, namun Inter mengesahkan kemaraan ke separuh akhir secara agregat 5-3.

Ini kali pertama Inter mara ke separuh akhir sejak memenangi Piala Eropah buat kali ketiga pada 2010, iaitu kali terakhir kelab Itali merangkul gelaran berprestij tersebut.

Inter atau Milan akan menjadi kelab Itali pertama layak ke final kejohanan elit itu jika memenangi saingan separuh akhir yang akan diadakan pada 9 dan 16 Mei.

Juventus muncul wakil Itali terakhir yang beraksi di pentas final 2015 dan 2017, namun kalah dalam kedua-dua perlawanan.

“Ia akan menjadi derby istimewa.

“Kita semua tahu maksud perlawanan ini, bermain derby Milan di separuh akhir Liga Juara-Juara.

“Kegembiraan adalah perkataan terbaik yang mampu saya ungkap ketika ini, saya sangat berbangga untuk memakai lencana dan mewakili kelab hebat,” kata penyerang Inter, Lautaro Martinez.

Menang 2-0 dalam aksi pertama di Portugal, Inter bermain dengan lebih tenang berbanding Benfica yang jelas terdesak.

Nicolo Barella membolehkan Inter berada pada kedudukan lebih selesa apabila membuka jaringan pada minit ke-13, namun Benfica menyamakan kedudukan menerusi Fredik Aursnes yang menanduk hantaran lintang Rafa Silva di minit ke-38.

Martinez dan pemain gantian, Joaquin Correa menambah tekanan Benfica apabila menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-65 serta 78.

Permainan menjadi semakin mendebarkan menuju minit-minit terakhir apabila Benfica meledak dua gol menerusi Silva (86) dan pemain gantian, Petar Musa di waktu kecederaan.

Begitupun jaringan itu tidak mampu menyekat Inter daripada mara ke separuh akhir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN