Boleh beli Kelantan tapi tak tentu dapat main dalam Liga M

Boleh beli Kelantan tapi tak tentu dapat main dalam Liga M

STUART Ramalingam menjawab soalan wartawan ketika ditemui pada majlis berbuka puasa MFL bersama media kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sesiapa pun yang mahu membeli Kelantan FC daripada Norizam Tukiman perlu memenuhi kriteria ketat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau pembelian mereka sia-sia dan tidak diluluskan.

Itu penegasan MFL ketika menjawab desas-desus Kelantan FC mungkin bertukar pemilik baharu selepas Norizam bersedia melepaskan pegangannya gara-gara desakan penyokong The Red Warriors (TRW).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam menegaskan, mereka mempunyai kuasa memberi lesen kepada pasukan untuk beraksi di Liga Super jika layak atau memenuhi kriteria.

Katanya, MFL sentiasa memantau penjualan kelab kepada pihak lain bagi mengelak masalah, terutama berkaitan keupayaan kewangan supaya tidak timbul isu tunggakan gaji.

“Sudah pasti, tahun lalu dua pengambilalihan pasukan kita tidak luluskan selepas proses due diligence yang kita buat.

“MFL akan melibatkan diri dalam proses pengambilalihan pasukan supaya ia lebih sistematik, bukan pemilik boleh jual tanpa pembabitan MFL.

SEPANDUK yang dipercayai dinaikan oleh penyokong Kelantan FC sebagai meluahkan kekecewaan dengan prestasi pasukan ketika ini.

“Ini bagi membolehkan MFL melakukan due diligence ke atas pembeli baharu sebelum pembelian atau penjualan berlaku.

“Saya bagi contoh lesen diberi kepada pasukan A, kalau individu membeli lesen dan mahu mengubah semua memang tidak boleh kerana ini bukan liga jual lesen,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa MFL bersama media kelmarin.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kemelut Kelantan FC sampai ke kemuncak apabila Norizam berhasrat melepaskan sepenuhnya saham kepada individu yang mampu.

Hasrat itu diluahkan selepas beberapa pihak, terutama penyokong TRW mula mempersoalkan kredibiliti beliau menerajui pasukan.

Norizam turut mendedahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih berhutang RM3.8 juta, antara punca mengganggu perancangannya.

Sementara itu, Stuart berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang andaian berkaitan situasi yang melanda Kelantan FC hanya bersandarkan kepada khabar angin atau laporan media semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN