LONDON: Arsenal digesa menandatangani Sadio Mane, yang kini berdepan detik sukar bersama Bayern Munich susulan pergaduhan dengan rakan sepasukan, Leroy Sane.
Bekas bintang Liverpool itu didenda 350,000 euro (RM1.7 juta) dan digantung perlawanan gara-gara menumbuk muka Sane selepas kekalahan 3-0 kepada Manchester City dalam Liga Juara-Juara, Khamis lalu.
Sikap Mane, 31, menyebabkan dia tidak disenangi kebanyakan rakan sepasukan, malah Bayern dikatakan akan mencari jalan untuk melepaskannya.
Bekas penyerang Manchester United, Louis Saha percaya sekarang waktu terbaik buat Gunners mendapatkan penyerang Senegal itu yang tidak lagi selesa berada di Bayern.

Mane juga mempunyai hubungan baik dengan bintang muda Arsenal, Bukayo Saka beberapa bulan selepas mereka bertemu pada majlis anugerah Ballon d’Or.
Sebelum majlis bermula, Mane dilihat memeluk Saka dan bersembang dengannya.
“Jika Bayern melepaskan Mane, saya rasa kelab Liga Perdana harus mempertimbangkannya.
“Mane membawa kualiti tinggi kepada mana-mana kelab kecuali Manchester United kerana dia bekas pemain Liverpool sejak bertahun-tahun.
“Walaupun tidak menunjukkan bahasa badan yang diharapkan, Mane mampu menguatkan Arsenal jika mereka mahu meneruskan penguasaan,” katanya. – AGENSI