PETALING JAYA: Semua pasukan bermain untuk mencabar trofi, namun 13 kelab yang bertarung dalam Liga Super musim ini mungkin hanya beraksi merebut gelaran naib juara kerana Johor Darul Ta’zim (JDT) terlalu sukar untuk dikalahkan.
Itu pandangan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Lim Chan Yew selepas melihat Harimau Selatan terus mengganas dan menjadikan Sabah FC mangsa terbaharu dengan membelasah anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee 4-0 kelmarin.
Kata Chan Yew, jika Sabah dan Selangor FC yang dianggap pencabar terkuat Liga Super musim ini boleh diratah Harimau Selatan, ia sudah cukup untuk membayangkan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, kecuali berlaku ‘keajaiban’ di tengah perjalanan.
Kemenangan besar ke atas Sabah kelmarin hadir kurang dua minggu selepas JDT menumpaskan Selangor 4-0. Sebelum itu, mereka turut membedil Kelantan FC 5-1 dan Negeri Sembilan 7-0.

“Bagi saya, memang pasukan lain sukar memenuhi standard yang sudah dicapai JDT tetapi kita kena faham, JDT dari pramusim lagi telah menyediakan kelab untuk ke Liga Juara-Juara, bukan setakat Liga M (Liga Malaysia).
“Justeru, yang terbaik boleh dilakukan pasukan lain setakat ini adalah cuba merebut tempat kedua dalam Liga Super.
“Tidak mustahil, akan ada perlawanan yang JDT akan tewas tetapi kebarangkalian itu sangat tipis.
“Jadi, ubah cara permainan, bina pemain yang lebih berkualiti dan letakkan mentaliti mampu menang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Selepas mengharungi enam perlawanan musim ini, JDT bukan sahaja mengungguli liga dengan 18 mata maksimum, malah telah meledak 25 gol dan hanya dibolosi sekali.